KUALA LUMPUR- Sempena Hari Air Sedunia 2023 baru-baru ini, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Islam Selangor (UIS), dan UNESCO-IHP Malaysia telah menganjurkan sebuah kem kesedaran sumber air .
Program yang dinamai “Water Awareness Camp for Future Leaders 2023” (WACFFL 2023) ini telah berlangsung di Semenyih Eco-Venture Resort and Recreation, Selangor pada 16 Oktober 2023.
WACFFL 2023 adalah sebuah usaha sama untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan sumber air kepada generasi muda melalui aktiviti fizikal dan berkumpulan.
Ia adalah program kali ketiga yang dianjurkan oleh UNITEN bertujuan untuk mendidik peserta agar menjadi agen perubahan dalam masyarakat demi menghargai kepentingan air dan alam sekitar.
Para peserta, terdiri daripada 33 orang pelajar UNITEN dan 32 orang pelajar UIS dari pelbagai latar belakang, berpeluang menyelesaikan enam modul yang merangkumi aspek kualiti air, pengurusan sumber air, pemantauan sungai, penuaian air hujan, biodiversiti sungai, dan tenaga boleh diperbaharui daripada air. Setiap modul program melibatkan pelbagai kaedah interaktif dan pembentangan berkumpulan, memberikan peluang kepada peserta untuk menguji kefahaman
mereka.
Menurut Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Mat Isa, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNITEN: “Saya gembira melihat pelajar universiti diberi tanggungjawab sejak awal untuk melestari sumber air. Program seperti WACFFL 2023 adalah langkah positif untuk membentuk pemimpin masa depan yang peka terhadap isu-isu alam sekitar”.
WACFFL 2023 adalah contoh sebuah kerjasama komprehensif antara institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan dalam memastikan kesedaran air terus dipromosikan di kalangan generasi muda.
Program ini membantu peserta menerapkan nilai-nilai murni dan melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani melalui kaedah pembelajaran luar kelas yang menarik dan interaktif.
Program sebegini adalah langkah penting dalam membentuk generasi yang lebih prihatin terhadap kelestarian alam sekitar dan sumber air. Diharapkan program seperti ini akan terus memberi kesan positif dan menjadi inspirasi untuk usaha-usaha mendidik kesedaran air dalam kalangan generasi muda.- MalaysiaGazette