Bangunan SIRIM

BAGAIMANA pensijilan memacu pertumbuhan perniagaan dan pemeliharaan alam sekitar Pada tahun 2023, Malaysia berada di kedudukan ke-78 dalam kalangan 166 negara, dengan catatan indeks Matlamat Pembangunan Lestari sebanyak 69.85% 1 . Bagi mencapai matlamat Agenda 2030 untuk Pembangunan Lestari, Malaysia mempergiatkan fokusnya ke arah kelestarian di peringkat tempatan. Usaha utama negara untuk meningkatkan kemampanan alam sekitar adalah dengan mengadakan skim eko-label, dimana ia merupakan satu inisiatif yang diteraju oleh kerajaan Malaysia.

Malaysia diliputi oleh hutan hujan tropika dan ekosistem yang pelbagai tidak terlepas daripada ancaman seperti pembalakan haram dan kehilangan habitat. Oleh itu, Malaysia kini sedang mengorak langkah yang signifikan dalam membuktikan komitmennya terhadap kemampanan melalui program eko-label yang inovatif. Program ini diwujudkan sebagai mekanisme untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan bertujuan untuk menggalakkan amalan dan pembuatan produk mesra alam.

Apa itu eko-label?

Banyak syarikat yang berminat untuk memulakan perjalanan perniagaan yang menuju ke arah kemampanan namun, tidak semua begitu memahami sepenuhnya tentang manfaat eko- label untuk produk mereka. Jadi, apakah sebenarnya skim eko-label? Eko-label adalah pensijilan dan pelabelan prestasi alam sekitar yang dipohon secara sukarela untuk dikenal pasti dan mendapatkan perakuan bahawa produk atau perkhidmatan yang tersebut terbukti mesra alam dan di dalam kategori produk atau perkhidmatan tertentu. Produk atau perkhidmatan yang diperakui ini telah disahkan ini memenuhi kriteria alam sekitar yang telus berdasarkan pertimbangan kitaran hayat dan metodologi saintifik.

Syarikat pengilang dan perniagaan boleh memohon untuk mendapatkan perakuan produk atau perkhidmatan mereka mengikut kriteria yang telahh ditetapkan. Di Malaysia, Eko-Label SIRIM dianugerahkan oleh SIRIM QAS International melalui pengiktirafan ISO/IEC 17065 – iaitu Keperluan Am untuk Badan yang Mengendalikan Sistem Pensijilan Produk yang dikeluarkan oleh badan akreditasi terkemuka Jabatan Standard Malaysia. Pensijilan ini juga mematuhi keperluan dan prinsip ISO 14024 iaitu memastikan penerimaan global dan mengukuhkan kebolehpercayaan dan kredibiliti proses pensijilan.

Manfaat eko-label SIRIM

Eko-label SIRIM berfungsi dalam menyampaikan faedah alam sekitar sesuatu produk kepada pengguna, supaya pengguna dapat membuat keputusan pembelian dengan mengambil kira kesan terhadap alam semula jadi. Dalam pasaran yang dipenuhi dengan pelbagai tuntutan produk untuk menonjolkan fungsi dan manfaatnya, Eko-label SIRIM berfungsi sebagai alat pemasaran yang berkesan di mana ia mengesahkan status hijau sesuatu produk dan jenama.

Skim eko-label mengesahkan status mesra alam dan pematuhan standard kemampanan produk. Status ini membantu memacu daya saing produk di pasaran hijau peringkat global, di mana produk berlabel eko selalunya dikaitkan dengan harga premium. Selain itu, skim eko-label memberi insentif kepada perniagaan untuk menerima pakai amalan mampan dalam operasi mereka. Ini melibatkan penilaian dan mereka bentuk semula kaedah pengeluaran dan pembuatan untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Ia juga menggalakkan penggunaan sumber yang cekap, termasuk tenaga, air, dan pengurangan sisa, serta menggalakkan penggunaan bahan mampan.

Tambahan pula, eko-label menggalakkan sektor kerajaan dan swasta untuk melibatkan diri dalam inisiatif mesra alam dengan bekerjasama untuk membentuk dan mencapai objektif kemampanan. Organisasi kerajaan yang mempromosikan barangan eko-label menandakan komitmen mereka terhadap kemampanan dan ini akan memberi inspirasi kepada perniagaan lain untuk turut serta dalam usaha penghijauan. Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) 2021-2025 yang bertemakan “Malaysia Makmur, lnklusif, Mampan” bertujuan untuk menyelesaikan isu semasa di sampingmeningkatkan pertumbuhan sosioekonomi Malaysia untuk kemampanan dan kemakmuran jangka panjang.

Pertumbuhan hijau dan peningkatan kemampanan bersandarkan pada pasaran hijau yang kukuh dan menjelang 2025, Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan perolehan hijau kerajaan (GGP) sehingga 25% bagi produk dan perkhidmatan hijau terpilih. Ini akan meningkatkan permintaan untuk produk, perkhidmatan dan inovasi hijau serantau yang turut meningkatkan dan menggalakkan penglibatan sektor awam dalam perolehan hijau, sekali gus mengembangkan pasaran hijau. Industri tempatan, khususnya PKS digalakkan untuk terlibat dalam program pembangunan industri hijau yang akan merangkumi pembinaan kapasiti, pensijilan, penyebaran pengetahuan, dan pemadanan perniagaan. Di samping itu, industri tempatan juga akan digalakkan untuk menerima eko-label bagi menghasilkan barangan hijau baharu. Usaha kerajaan untuk membantu perniagaan mendapatkan eko-label akan dipertingkatkan dengan sokongan kewangan serta teknikal. 2

Cabaran dan prospek masa hadapan

Eko-label menghadapi cabaran dalam mengekalkan kredibiliti label dan juga dalam usaha untuk memperluaskan liputannya kepada lebih banyak sektor perniagaan. Apabila produk inovatif yang baharu mula memasuki pasaran, pensijilan bagi produk tersebut menjadi rumit kerana iamemerlukan pemerolehan standard dan kemudahan ujian yang sesuai atau baharu. Di samping itu, juruaudit juga perlu meneliti dan mengikuti peraturan domestik dan global yang sentiasa berubah, dan memastikan produk mematuhi piawaian industri terkini.

SIRIM QAS menawarkan perkhidmatan inovatif yang memenuhi permintaan industri yang berkembang pesat. Ia adalah perkhidmatan di mana pelanggan boleh mendapatkan pensijilan yang berbilang dengan satu audit dengan menyepadukan Skim Pensijilan Eko-Label dengan Skim Pensijilan Produk dan Skim Pensijilan Sistem Pengurusan. Perkhidmatan bersepadu ini bukan sahaja membantu pelanggan menjimatkan masa dan sumber tetapi ia juga dapat meningkatkan reputasi syarikat dan jenama mereka. Kaedah pensijilan seperti ini yang mengutamakan pelanggan, bertujuan untuk menyelaraskan akses kepada pasaran tempatan dan antarabangsa dengan mewujudkan kecekapan operasi perniagaan.

Impak positif eko-label

Kesan positif eko-label melangkaui makluman status hijau sesuatu produk atau perkhidmatan kepada pengguna. Eko-label dapat membina kepercayaan pengguna, menerapkan pendidikan alam sekitar, meluaskan peluang pemasaran, memastikan pematuhan prinsip kawal selia, memacu inovasi, mengurangkan jejak karbon, menggalakkan kemampanan merentasi rantaian bekalan, menggalakkan kerjasama, meningkatkan reputasi jenama, dan memupuk kesedaran tentang kepentingan kesihatan dan keselamatan. Inisiatif eko-label dapat memberi manfaat kepada perniagaan, pengguna dan para penggubal dasar dan dalam masa yang sama meningkatkan pemeliharaan alam sekitar dan penggunaan yang bertanggungjawab.

Kamarul Arieffin Rosli, Juruaudit Utama bagi Pensijilan dan Pemeriksaan Produk SIRIM QAS International berkata bahawa pensijilan produk SIRIM QAS melangkaui aspek teknikal penilaian produk. “Mengetahui bahawa usaha kami menyumbang kepada persekitaran yang lebih selamat, mampan dan lebih bertanggungjawab merupakan pendorong yang besar dan sumber kepuasan bagi kami. Tujuan utama kami adalah untuk membantu pengilang untuk memenuhi keperluan kawal selia dan piawaian industri serta menyokong dalam usaha mereka untuk bersaing dalam pasaran sambil mematuhi kewajipan undang-undang”.

Skim Eko-Label SIRIM QAS telah muncul sebagai alat yang penting dalam perjalanan Malaysia menuju kemampanan. Dengan komitmen perniagaan dan pengguna untuk menyemarakkan revolusi hijau, eko-label melambangkan kesungguhan negara kita untuk masa depan yang lestari. Dengan terus mendekati amalan mesra alam, Malaysia akan mencapai matlamat kemampanan dan dalam masa terdekat, gaya hidup hijau akan menjadi satu kebiasaan.

Artikel dari SIRIM

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast