Khaidirah (kanan) ketika turun padang meninjau aduan penduduk Taman Lipat Kajang Perdana (LKP) mengenai kes tanah runtuh pada 12 Mei lalu.

JASIN – Sikap saling menuding jari beberapa agensi berwajib dalam menangani isu tanah runtuh sehingga menjadi ‘kawah gergasi’ yang merisikokan nyawa kira-kira 2,000 penduduk Taman Lipat Kajang Perdana (LKP), di sini menjadi punca masalah itu gagal diatasi sejak hampir dua tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar berkata, beliau sendiri sudah beberapa kali turun padang melihat bencana itu, termasuk yang terbaru pada 12 Mei lalu.

“Namun sehingga kini, tidak pernah ada jalan penyelesaian daripada agensi yang bertanggungjawab apabila hasil jawapan yang sama adalah ‘agensi A’ yang sepatutnya selesaikan masalah.

“Kemudian kata pula kalau ikutkan tempat ini, ‘agensi B’ yang bertanggungjawab dan pihak lagi satu akan kata kami ingat ‘agensi C’ yang jalankan kerja ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook (FB) rasminya di sini hari ini.

Kira-kira 2,000 penduduk di Taman Lipat Kajang Perdana (LKP), Jasin, hidup dalam kebimbangan ekoran kediaman diancam runtuhan ‘kawah gergasi’ sejak hampir dua tahun lalu.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan MalaysiaGazette semalam dakwaan penduduk hampir 10 aduan sudah dibuat kepada pihak berwajib sejak 18 bulan lalu namun sehingga ke hari isu itu menemui jalan buntu.

Mengulas lanjut Khaidirah berkata, apa yang dikesalkan adalah sehingga kini semua agensi itu masih saling menuding jari antara satu sama lain sehingga gagal menemui titik penyelesaian.

“Saya amat kecewa kerana lebih kurang 2,000 penduduk di Taman Lipat Kajang Perdana dalam keadaan bahaya untuk menghadapi risiko tanah runtuh ini.

“Setiap kali saya turun di sini, hanya penyelesaian jangka masa pendek sahaja dilakukan, iaitu tambak tanah dan selepas itu, apabila tiba musim hujan, ianya hanyut dek arus,” katanya.

Status dimuat naik Khaidirah di Facebook (FB) rasminya di sini hari ini.

Justeru tegas beliau, semua agensi-agensi terbabit perlu mencari penyelesaian jangka masa panjang secepat mungkin untuk menamatkan derita penduduk.

“Isu ini tidak pernah dirujuk dan dibawa bincang bersama saya dan jangan pula sampai ada kehilangan nyawa, baru nak bertindak,” katanya. – MalaysiaGazette

2,000 penduduk taman diancam runtuhan ‘kawah gergasi’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast