Kira-kira 2,000 penduduk di Taman Lipat Kajang Perdana (LKP), Jasin, hidup dalam kebimbangan ekoran kediaman diancam runtuhan 'kawah gergasi' sejak hampir dua tahun lalu.

JASIN – Kira-kira 2,000 penduduk di Taman Lipat Kajang Perdana (LKP), di sini hidup dalam kebimbangan ekoran kediaman diancam runtuhan ‘kawah gergasi’ sejak hampir dua tahun lalu.

Pengerusi persatuan penduduk, Suhaimi Ahmad, 53, berkata, paling teruk terjejas adalah kira-kira 40 buah rumah didiami 200 penduduk yang hanya berjarak sembilan meter dari tebing runtuhan setinggi 10 meter.

Menurutnya, hampir 10 aduan sudah dibuat kepada pihak berwajib termasuk wakil rakyat namun sehingga ke hari isu itu menemui jalan buntu.

Suhaimi Ahmad

“Sekarang ini musim hujan dan memang kami terutamanya 200 penduduk di Jalan LKP 8 dan LKP 9 yang berada paling hampir dengan tebing runtuhan setinggi 10 meter dan membentuk kawah berkeluasan 2,400 meter persegi.

“Dulu asalnya kawasan kawah itu adalah ban yang boleh dilalui lori ke ladang sawit bersebelahan namun lama-kelamaan runtuhan menjadi sebesar ini daripada saiz asal longkang selebar 1.2 meter,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar ada beberapa kali melawat kawasan runtuhan, namun tindakan dibuat seolah-olah melepaskan batuk di tangga.

“Selepas lawatannya pada 12 Mei lalu, adalah tiga empat lori datang tambak tanah tapi selepas itu sepi dan hari ini kita tengok semuanya dah hanyut dibawa arus.

“Takkan wakil rakyat nak biarkan penduduk ambil tindakan sendiri bawa cangkul dan kereta tolak tambak tanah di sini,” soalnya lagi.

Shukor Abdul Jalil

Seorang lagi penduduk yang juga pesara jurutera Shukor Abdul Jalil, 59, berkata, alasan diberikan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mereka sedang menunggu tender projek dan menguruskan kewangan yang mengambil masa selama setahun enam bulan adalah tidak masuk akal.

“Sebagai bekas jurutera yang pernah uruskan kes tanah runtuh, sepatutnya kena ada peruntukan segera kerana ini adalah kerja-kerja kecemasan yang semakin lama ditangguh semakin merebak tanah runtuh.

“Kalau buat awal dulu mungkin kosnya sekitar dua tiga ratus ribu ringgit sahaja, sekarang apabila sudah menjadi kawah gergasi seluas 2,400 meter persegi dan sedalam 10 meter, kosnya boleh jadi jutaan ringgit,” katanya.

Tijah Karim

Bagi Tijah Karim, 58, dia bimbang memikirkan keselamatan anak-anak dan tiga cucu setiap kali keluar bermain di kawasan padang bersebelahan kawasan runtuhan itu.

“Apatah lagi ketika waktu musim hujan sekarang bila-bila masa sahaja boleh runtuh dan takkanlah nak tunggu sampai ada kes kematian baru pihak berkuasa nak bertindak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast