PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membuka permohonan kepada pasukan perubatannya yang boleh dimobilisasikan ke Semenanjung Gaza, Palestin sebaik sahaja kebenaran memasuki negara itu diberikan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, permohonan atas talian itu adalah secara sukarelawan di mana mereka yang terpilih akan didedahkan dengan latihan persediaan yang bersesuaian dengan bencana perang.
“Dalam pemantauan kita (pasukan perubatan) dan telah pun buka permohonan secara atas talian kepada anggota kesihatan yang bersedia untuk dihantar ke sana.
“Kita akan laksanakan latihan tetapi jumlah permohonan belum ada lagi dan akan diberikan kemudian berapa ramai yang mohon jadi sukarelawan di sana.
“Kita pun sedang tunggu dan bekerja rapat dengan pasukan Palang Merah dan sebagainya termasuk Mercy yang berkhidmat di sana serta agensi kerajaan lain. Itu persediaan di peringkat kami.
“Semalam kami juga keluarkan kenyataan untuk terus hantar menyediakan bantuan kemudahan perubatan kerana ramai yang berdepan kecederaaan yang tinggi di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Integriti KKM Tahun 2023 di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan KKM semalam mengenai penghantaran pasukan perubatan dan bersedia setrta telah mengenal pasti pasukan perubatan yang boleh dimobilisasikan sebaik sahaja kebenaran diberikan.
KKM berkata, pasukan perubatan itu juga akan didedahkan dengan latihan persediaan yang bersesuaian kerana akan terlibat dalam merawat mangsa-mangsa bencana peperangan.
“Penghantaran akan dibuat menerusi kerjasama Kementerian Luar Negeri dan agensi awam lain serta koordinasi oleh International Red Cresent,” kata KKM lagi. – MalaysiaGazette
Saya dari APM ingin ikut serta untuk menjadi sukarelawan perubatan ke Gaza.Semoga dan rezeki saya untuk membantu saudara2 Kita di sana.Aamiin