KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyuarakan kebimbangan berhubung dengan siri tragedi kematian kanak-kanak di Malaysia.
Pesuruhjaya Kanak-kanak Dr. Farah Nini Dusuki berkata, tragedi kematian kanak-kanak berlaku ini disebabkan oleh hipertermia setelah ditinggalkan tanpa pengawasan di dalam kereta.
Menurut beliau, kebergantungan kepada kecanggihan ciri keselamatan kanak-kanak dalam kereta dilihat telah mengurangkan sifat waspada dalam diri dan mendorong ibu bapa menjadi lebih alpa.
“Walaupun penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak yang meluas dapat meningkatkan keselamatan kanak- kanak dalam kereta, hal ini telah menyumbang kepada peningkatan insiden kecuaian yang seharusnya boleh dielakkan.
“Ibu bapa diingatkan supaya tidak berasa terlalu selesa dan yakin bahawa tragedi yang sama tidak akan berlaku kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Statistik dan kajian menunjukkan kebanyakan kes kematian kanak-kanak dalam kereta berlaku kepada bayi yang berumur tiga tahun ke bawah.
Hal ini disebabkan oleh kurangnya tindak balas mereka terhadap ancaman dan risiko.
Katanya, usaha pencegahan harus diperluaskan lagi oleh semua pihak berkepentingan terutamanya Kementerian Pengangkutan dengan mengadakan kempen untuk memberi peringatan kepada ibu bapa dan orang ramai mengenai isu ini.
Dr. Farah mendesak ibu bapa agar sentiasa melakukan pemeriksaan rutin terhadap keselamatan serta keberadaan anak-anak dan tidak mengambil mudah mengenai isu keselamatan mereka.
“Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] perlu dikuatkuasakan terhadap insiden atau kes yang merisikokan keselamatan dan nyawa kanak-kanak disebabkan oleh kecuaian.
“Pihak pendakwaraya digesa untuk bersama-sama mendidik masyarakat dan mengarusperdanakan isu ini dalam bidang kuasa mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette