Muhammad Fauzi Asmuni dalam sidang media berkaitan Palestin hari ini.

PUTRAJAYA – Tindakan beberapa negara Arab termasuk Arab Saudi yang menormalisasikan hubungan dengan Israel akan memberi kesan negatif terhadap Palestin.

Pengarah Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Muhammad Fauzi Asmuni berkata, antaranya boleh dilihat apabila empat negara Arab menolak usul yang dikemukakan dalam Sidang Tergempar Negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam baru-baru ini.

“Jika kita melihat empat negara itu adalah yang ada hubungan normalisasi dengan Israel. Itu kesan normalisasi jika kita ingat masyarakat faham antaranya akan berpihak kepada Israel dan bukan kepada Palestin.

“Tindakan Arab Saudi kita boleh fahami kerana normalisi akan menjadikan dia berpihak kepada Israel,” katanya dalam sidang media hari ini.

Muhammad Fauzi berkata, ketika ini terdapat enam negara Arab yang telah membuat hubungan secara rasmi dengan regim Zionis iaitu Mesir, Jordan, Bahrain, Emeriah Arab Bersatu, Sudan dan Maghribi.

Arab Saudi merupakan negara ketujuh yang sedang mengadakan rundingan untuk menormalisasi hubungan dengan Israel namun terbantut berikutan serangan hebat regim Zionis terhadap Palestin ketika ini.

“Rundingan ini sudah berjalan beberapa tahun sebelum ini dan ia berhenti sekejap disebabkan serangan Taufan al-Aqsa dan kemudian baru-baru Arab Saudi (memberitahu) akan mengemukakan semula proses noramlisasi selepas ini.

“Proses normalisasi akan memberi kesan pendirian negara Arab terhadap Israel,” katanya.

Beliau ditanya mengenai tindakan Arab Saudi yang merupakan penjaga dua kota suci Islam menolak empat usul sidang tergempar negara Arab dan OIC yang boleh menghentikan segera serangan ganas Israel terhadap Palestin.

Usul tersebut antaranya menghalang penggunaan pangkalan ketenteraan Amerika Syarikat dan negara sekutu lain di negara Arab untuk menyiapkan kelengkapan ketenteraan mereka.

Membekukan hubungan diplomatik, ekonomi, keamanan, dan ketenteraan Arab dengan Israel serta mengancam untuk menggunakan minyak dan kemampuan ekonomi Arab untuk memberi tekanan agar menghentikan keganasan.

Mencegah syarikat penerbangan awam Israel melintasi ruang udara negara-negara Arab.

GSPP hari ini mengemukakan lapan tuntutan terhadap pemimpin negara Arab bagi menghentikan tindakan ganas Israel yang kini telah mengorbankan lebih 11,000 rakyat Palestin.

Gabungan itu turut menyerahkan memorandum kepada Wisma Putera mendesak sembilan perkara antara lain menuntut kerajaan supaya bertindak tegas dan tidak tunduk terhadap tekanan negara pro-Israel dalam perjuangan membebaskan Palestin.

Mereka turut menggesa supaya sumbangan disampaikan secara terus kepada rakyat Palestin di Gaza dan bukan kepada Pihak Berkuasa Palestin. – MalaysiaGazette