Wan Azlan Wan Mamat. Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan penemuan rangka manusia di kawasan belukar di bawah jambatan Jalan Persiaran Putra, Putra Heights, dekat Subang, pada Jumaat lalu tiada unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan polis bersama pakar patologi Hospital Serdang semalam mendapati, rangka berkenaan tiada kecederaan lain.

Katanya, hasil laporan patologi turut mendapati, terdapat empat kesan patah pada rangka manusia berkenaan iaitu pada tulang tangan kanan (Humerus), lengan tangan kanan (Ulna), tulang rusuk bahagian kanan dan tulang pinggul (Girdel Pelvis) bahagian kanan.

“Kesan patah pada tulang berkenaan adalah selari dengan tempat kejadian berdasarkan pada anggaran ketinggian dan juga tempat mangsa itu jatuh,” katanya dalam kenyataan.

Berikutan itu, ahli keluarga mangsa telah tampil berjumpa pegawai penyiasat setelah mendapat tahu berita penemuan rangka manusia itu disiarkan media.

Jumaat lalu, polis menerima laporan penemuan rangka dipercayai lelaki warga Indonesia iaitu pekerja yang menjalankan kerja penyelenggaraan sistem LRT di substesen Putra Height pada 12.15 tengah hari.

Rangka manusia itu dikenali sebagai Riki Mandaguna, berusia 40 tahun dan beralamat di Kota Samarinda, Kisaran, Indonesia dan mangsa berkemungkinan meninggal dunia di antara tiga hingga enam minggu lalu. – MalaysiaGazette