NILAI – Program KPT-Career Advancement (KPT-CAP) mampu menyediakan peluang luas bagi peserta untuk melangkah ke alam pekerjaan, sekaligus membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, inisiatif pembangunan projek ini adalah strategi berkesan yang menggambarkan tekad Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meningkatkan kualiti pendidikan.
Selain itu, katanya, ia juga memperluaskan peluang kebolehpasaran graduan dan merupakan satu langkah berani menuju masa depan berjaya.
Sementara itu, Dr. Sharifudin memberitahu, Program KPT-CAP yang mendapat pembiayaan berjumlah RM60,000, syarikat RPG Education and Training Centre (RPG) telah menggunakan wang tersebut untuk membina rumah contoh asnaf.
“Jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada Pusat Alumni dan Kerjaya dan Syarikat RPG Education & Training Center yang utuh menjalin kerjasama sehingga mampu menyumbang kemajuan kepada fasiliti di USIM,” katanya dalam satu kenyataan.
USIM melalui Pusat Alumni dan Kerjaya dengan kerjasama syarikat RPG bari-baru ini menganjurkan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Asnaf Contoh bertempat di Kolej Kediaman Satu.
Menurut, Dr. Sharifudin, kolaborasi dengan syarikat RPG menjadi salah satu strategi yang dapat melestarikan kepelbagaian pembagunan di USIM.
Malah, tambah beliau, teknologi hijau yang ditampilkan dapat dijadikan model bagi rumah asnaf untuk dijadikan inspirasi kepada Pusat-Pusat Zakat Agama Islam Malaysia. – MalaysiaGazette