BARU-baru ini telah tular satu artikel yang ditulis oleh seorang rakyat Malaysia yang menggelarkan Hamas sebagai sebuah organisasi militan.
Ini adalah susulan dari Hamas melakukan satu serangan berani pada awal bulan Oktober terhadap Israel dan berjaya membunuh sejumlah besar tentera Israel.
Mereka juga menculik lebih daripada dua ratus warga Israel, yang mereka rancang untuk ditukar dengan ribuan rakyat Palestin yang kini dipenjarakan di penjara Israel.
Rejim Zionis Israel telah bertindak balas dengan mengebom Gaza selama lebih sebulan sekarang. Pengeboman itu telah meragut lebih dari 11,000 nyawa rakyat Palestin yang tidak bersalah, termasuk lebih 4,000 kanak-kanak, dan memusnahkan puluh ribu bangunan, rumah dan pejabat.
Kerajaan dan media Barat telah lama menyifatkan ahli Hamas sebagai kumpulan militan atau pengganas. Tindakan terbaru Hamas akan mengukuhkan pendirian mereka.
Sesetengah rakyat Malaysia yang bergantung kepada naratif media Barat tentang situasi di Palestin mungkin juga mempunyai pendapat yang sama. Mereka juga mungkin merasakan bahawa semua penderitaan rakyat di Gaza kini boleh dielakkan jika Hamas tidak memprovokasi Israel.
Mereka turut berpendapat bahawa `konflik’ antara Israel dan Palestin adalah berpanjangan semata-mata kerana Hamas tidak mahu berhenti dari menyerang Israel sehingga memaksa Israel mempertahankan diri sebagai negara yang berdaulat.
Pandangan sarjana Yahudi
Walau bagaimanapun, semakin ramai sarjana Timur Tengah telah mengambil pandangan sebaliknya. Sarjana tersebut termasuk Profesor Ilan Pappe, seorang ahli sejarah berbangsa Yahudi dari Israel.
Pappe melakukan penyelidikan kedoktorannya di Universiti Oxford. Beliau mendokumentasikan penyelidikannya dalam bukunya yang terkenal berjudul `The Ethnic Cleansing of Palestine’ (Pembersihan Etnik Palestin).
Hujah utama Pappe ialah sebelum penubuhan Israel, bermula pada awal abad ke-20, golongan Yahudi Zionis telah datang dari Eropah ke bumi Palestin. Pendatang ini mempunyai rancangan untuk menjadikan Palestin sebagai sebuah negara yang khusus untuk orang Yahudi sahaja.
Oleh itu mereka juga telah bertekad untuk mengusir penduduk tempatan dari tanah air mereka. Untuk beberapa dekad berikutnya, dengan bantuan kerajaan British, pendatang Zionis melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai di kampung-kampung warga Palestin.
Akibatnya, ribuan telah terkorban dan lebih 750,000 rakyat Palestin diusir secara paksa dari rumah dan kampung mereka untuk menjadi pelarian sehingga hari ini. Mereka tidak dibenarkan pulang ke tanah air mereka, walaupun ini adalah hak mereka di bawah Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menjelang tahun 1948, kebanyakan tanah di Palestin berada di bawah kawalan tentera Zionis. Ini membolehkan mereka mengisytiharkan penubuhan negara baru Israel, iaitu sebuah tanah air khusus untuk orang Yahudi sahaja.
Walau bagaimanapun, Zionis tidak berpuas hati dengan apa yang mereka telah rampas dan memutuskan untuk memperoleh lebih banyak kawasan secara paksa. Pada tahun 1967, mereka menyerang dan berjaya menguasai Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, termasuk Masjid Al Aqsa.
Walaupun masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf Tebing Barat sebagai sebahagian daripada Israel, kerajaan Zionis terus menubuhkan penempatan atau bandar untuk orang Yahudi sahaja di atas tanah yang dirampas daripada rakyat Palestin.
Hari ini, sebahagian besar Tebing Barat berada di bawah kuasa penuh tentera Israel, sekali gus membolehkan mereka mengawal pergerakan rakyat Palestin dengan mewujudkan ratusan sekatan jalan raya.
Rakyat Palestin dihalang dan disekat daripada bergerak bebas di dalam negara mereka sendiri untuk bekerja, menjaga kebun zaitun mereka, pergi ke sekolah atau hospital atau melawat ahli keluarga.
Netanyahu teruskan agenda Israel Raya
Sejak pelantikan semula Benjamin Netanyahu sebagai perdana menteri pada Disember 2022 dengan sokongan puak pelampau Zionis, kerajaan Israel semakin tidak gentar untuk mendedahkan agenda sebenar sejak penubuhan negara haram Israel.
Agendanya adalah untuk memastikan semua wilayah Palestin, termasuk Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, berada seratus peratus di bawah kawalan mereka, justeru proses berterusan untuk mengilhakkan tanah Palestin dan menghalau mereka untuk digantikan oleh pendatang haram Yahudi.
Mereka juga telah merampas berpuluh-puluh rumah penduduk Palestin di daerah Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.
Beberapa pemimpin Israel juga telah mendedahkan rancangan mereka untuk merobohkan masjid Al-Aqsa dan menggantikannya dengan kuil Yahudi bernama Haikal Sulaiman.
Israel juga telah menyekat Semenanjung Gaza sejak 2006, sekali gus menjadikannya penjara bagi penduduk Palestin yang tinggal di sana. Tujuan melakukan ini adalah supaya penduduk lebih 2 juta di kawasan itu tidak berani mencabar Israel.
Kini cukup jelas bahawa Israel tidak akan berhenti melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin sehingga mereka memperoleh semua tanah di Palestin, menghalau semua rakyat Palestin dan menghapuskan sebarang kesan identiti Palestin dari tanah air mereka.
Namun, kebanyakan rakyat Palestin mempunyai jati diri yang tinggi. Mereka tidak akan tunduk kepada usaha penjajah asing untuk terus merampas seluruh tanah mereka, melanggar hak asasi mereka, dan mencemarkan Masjid Al Aqsa mereka yang suci.
Paling menonjol dalam kalangan rakyat Palestin yang menentang Israel ialah kumpulan Hamas. Pertubuhan itu, yang ditubuhkan pada 1980-an oleh seorang ulama Palestin bernama Sheikh Ahmad Yasin, adalah cabang gerakan Ikhwanul Muslimin yang berpusat di Mesir.
Sejak awal kewujudannya, Hamas menolak tekanan daripada semua pihak untuk mengiktiraf Israel sebagai negara yang sah. Hamas juga berpendirian bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menentang penjajahan negara mereka oleh orang asing dengan apa cara sekalipun, termasuk cara ketenteraan.
Sebenarnya, di bawah undang-undang antarabangsa, sebarang perjuangan menentang pendudukan asing, termasuk penentangan bersenjata, adalah sah.
Oleh itu, daripada menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas, hampir semua rakyat Palestin dan ramai pihak di seluruh dunia, termasuk Malaysia, melihat mereka sebagai `pejuang kebebasan’ yang patut dikagumi atau dipuji kerana perjuangan heroik mereka dan kesanggupan mengorbankan nyawa mereka demi keadilan dan kebebasan.
Hamas bertindak balas terhadap kekejaman Israel
Sebelum menyerang Israel pada awal Oktober, Hamas sering memberi amaran kepada Israel supaya menghentikan jenayahnya terhadap rakyat Palestin yang semakin serius.
Ini termasuk rampasan rumah penduduk Palestin di daerah Sheikh Jarrah, rampasan tanah Palestin di Tebing Barat oleh peneroka Israel dengan bantuan tentera Israel, pembunuhan rakyat Palestin yang tidak bersalah, pemenjaraan ribuan rakyat Palestin dan layanan kejam yang dilakukan kepada mereka, serta pencabulan kesucian Masjid Al Aqsa.
Namun begitu Israel terus melakukan jenayah di atas. Oleh itu Hamas memutuskan mereka tiada pilihan selain menyerang Israel. Masa dan skala serangan mereka mungkin mengejutkan bagi sesetengah orang, tetapi ia tidak menghairankan bagi ramai penganalisis. Bagi mereka, pejuang kemerdekaan yang tulen tidak akan berputus asa dari perjuangan mereka, termasuk perjuangan bersenjata.
Hamas tahu bahawa Israel akan membalas. Tetapi mereka berkemungkinan besar tidak menjangkakan bahawa Israel akan sanggup membunuh lebih daripada sebelas ribu orang awam yang tidak bersalah, termasuk beribu-ribu kanak-kanak (pada masa penulisan).
Tahap kekejaman dan skala kemusnahan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas penduduk Gaza telah mengejutkan seluruh dunia.
Sambutan rakyat biasa di seluruh dunia, terutamanya di kalangan orang Eropah dan Amerika, terhadap pembunuhan oleh Israel juga tidak pernah berlaku sebelum ini. Ramai yang kini secara terbuka mengutuk tindakan Israel, seperti yang disaksikan oleh demonstrasi besar-besaran di bandar-bandar besar menyokong rakyat Palestin.
Kesimpulannya, perjuangan bersenjata oleh kumpulan Palestin, termasuk Hamas, adalah hasil daripada keadaan yang dipaksa oleh penjajahan kejam dan pendudukan negara mereka oleh pihak Zionis, yang masih berterusan.
Malangnya, kuasa Barat, terutamanya AS dan Britain, bersubahat. Untuk mengaburkan keadaan, mereka melabelkan pejuang Hamas sebagai pengganas atau militan.
Jika seseorang menggunakan salah satu daripada dua istilah itu untuk merujuk kepada kumpulan Hamas, ini bermakna sama ada individu tersebut tidak mengetahui sejarah penjajahan Palestin atau telah memilih untuk mengambil pendirian Zionis dalam isu Palestin.
Hanya pihak Zionis yang bersemangat mengatakan Palestin sememangnya tanah air khusus untuk orang Yahudi dan pengusiran rakyat Palestin dari bumi Palestin adalah wajar, dan oleh sebab itulah mereka tidak segan silu menyebut pejuang Hamas sebagai militan dan pengganas.
Oleh: Prof Mohd Nazari Ismail, Pengarah Hashim Sani, Pusat Pengajian Palestin, Universiti Malaya.-MalaysiaGazette