Tun Dr Mahathir Mohamad .- Foto WAN NABIL NASIR, 14 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri. Tun Dr. Mahathir Mohamad kecewa dengan pemimpin Arab dan Islam yang mengadakan sidang tergempar pada 11 dan 12 November lalu.

Beliau berkata, maruah pemimpin Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah dilucut oleh Israel dan sekutu kuatnya dari Barat terutama Amerika Syarikat (AS) kerana tiada tindakan tegas yang diambil.

Menurut beliau, pemimpin Arab dan Islam terbabit seharusnya tidak memperbodohkan diri sendiri kerana kenyataan, tuntutan dan kutukan yang ditujukan kepada Israel dan sekutunya tidak memberi kesan.

Sebaliknya rakyat Palestin masih ‘mengangkat kepala’ untuk berjuang walaupun Israel telah berusaha selama tujuh dekad untuk melucutkan maruah mereka.

Dalam sebulan yang lalu, kata Dr Mahathir, rakyat Palestin termasuk remaja yang bersekolah sekali lagi membuktikan keberanian dan penentangan terhadap kekejaman Israel.

Masyarakat turut menyaksikan orang awam Palestin terutamanya doktor dan jururawat enggan meninggalkan hospital ke tempat yang lebih selamat dan berkeras untuk tinggal dan merawat yang cedera dengan risiko nyawa mereka sendiri.

Rakyat Palestin yang berjuang sangat berbeza dengan pemimpin Arab dan Islam yang mengadakan sidang kemuncak tersebut.

“Ramai (rakyat Palestin) yang mati tetapi mereka akan hidup sebagai syahid dan pahlawan. Sebaliknya, pemimpin Islam dan Arab dilucutkan maruah mereka kerana Israel, AS dan sekutu Barat mereka terus “menggoda” mereka tetapi tidak pernah menganggap mereka serius.

“Walaupun duduk di kawasan yang kaya dengan kekayaan yang boleh digunakan sebagai pengaruh untuk menuntut negara-negara Barat mengenakan sekatan terhadap Israel atas kekejamannya ke atas rakyat Palestin.

“Pmimpin Arab dan Islam hanya merayu agar Israel menghentikan pembunuhan beramai-ramai.
Mereka tidak pun menuntut PBB menghantar pasukan keamanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam webinar Perbincangan Pendekatan Komuniti Antarabangsa Terhadap Pembinaan Gaza yang dianjurkan oleh The Arab Organisation For Human Rights semalam.

Dr Mahathir berkata, keengganan pemimpin Arab dan Islam untuk mengambil tindakan terhadap Isreal bermakna mereka turut bersubahat mengizinkan regim Zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.

“Saya sedar bahawa beberapa pemimpin ini mual dan mahu Sidang Kemuncak Arab dan Islam mengambil langkah yang lebih drastik dan konkrit terhadap Israel.

“Walau bagaimanapun, yang lain lebih suka bermain selamat supaya kata sepakat tidak dapat dicapai – selain daripada rayuan diplomatik yang tidak bermakna.

“Dengan itu, rakyat Palestin ditinggalkan di bawah belas kasihan Israel, Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya. Dan mereka bersalah seperti Israel atas pembunuhan beramai-ramai,” kata Dr Mahathir.

Sehingga kini lebih 11,500 penduduk Palestin telah dibunuh oleh Israel dalam serangan berterusan lebih 40 hari.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast