Ketua Perangkawan
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

KUALA LUMPUR – Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah di negara ini meningkat kepada 4.6 peratus pada suku ketiga tahun ini, berbanding 4.3 peratus suku sebelum ini.

Menurut beliau, peningkatan itu didorong oleh oleh perbelanjaan yang lebih tinggi dalam pengangkutan (11 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (4.9 peratus) serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (5.9 peratus).

“Bagi terma pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, prestasi keseluruhan mencatatkan penurunan sebanyak 0.7 peratus, berbanding 5.9 peratus pada suku sebelum ini,” katanya.

Mohd Uzir berkata demikian dalam kenyataan media berhubung Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 yang diedarkan selepas sidang media bersama Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour di Sasana Kijang di sini hari ini.

Beliau memberitahu, perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan bagi suku ketika tahun ini meningkat 5.8 peratus berbanding 3.8 peratus pada suku sebelumnya.

Mohd Uzir menjelaskan, peningkatan itu disokong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi ke atas bekalan dan perkhidmatan.

“Bagi terma pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan meningkat 4.6 peratus pada suku tahun ini,” jelasnya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan mengenai Statistik Imbangan Pembayaran dan Kedudukan Pelaburan Antarabangsa bagi Suku Ketiga 2023, beliau berkata Imbangan Akaun Semasa (CAB) negara pada suku tahun ketiga 2023 meningkat marginal sebanyak 0.3 peratus dari suku ke suku.

Mohd Uzir menambah, peningkatan itu merekodkan lebihan RM9.1 bilion, bersamaan 2 peratus daripada KDNK

“Sementara itu, Akaun Kewangan berubah kepada aliran masuk bersih RM14.9 bilion berbanding aliran keluar bersih RM11.6 bilion pada suku sebelumnya.

“Dalam tempoh Januari hingga September, CAB mencapai lebihan RM22.5 bilion, manakala Akaun Kewangan merekodkan aliran masuk bersih RM1.0 bilion,” katanya.

Beliau menjelaskan, lebihan CAB pada suku tahun ketiga 2023 sebahagian besarnya disokong oleh eksport bersih Barangan yang lebih tinggi, diikuti defisit yang lebih rendah dalam Perkhidmatan dan akaun Pendapatan sekunder – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast