Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah menerusi pemeriksaan di sebuah premis di Nilai, Negeri Sembilan pada 6 November lepas.

Pengarah Operasi penguatkuasaan JKDM, Zon Tengah Unit III, Wong Pun Sian berkata, dadah jenis heroin itu dikesan susulan rasa curiga anggota Bahagian Penguatkuasaan terhadap satu palet yang mengandungi 36 kotak bahan dagangan komoditi jubin lantai.

Hasil pemeriksaan terhadap palet berkenaan telah menemui sebanyak 59 paket plastik lutsinar yang mengandungi serbuk putih seberat 1.013 kilogram disorokkan di dalam marking label laminate dan diletakkan dalam kotak jubin tersebut.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM86,800.67. Siasatan awal mendapati dagangan berkenaan adalah bertujuan untuk dihantar ke Australia.

“Dagangan dipercayai telah dihantar ke premis di Nilai untuk proses pembungkusan dan fumigation sebelum di bawa ke Port Klang untuk dieksport,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pun Sian berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan cara menyembunyikan dadah berbahaya di dalam paket plastik dan disorokkan di dalam marking label bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ujarnya, usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek yang terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tegasnya, jika disabitkan kesalahan mereka yang terlibat akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan atau dijatuhi hukuman mati.

Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. – MalaysiaGazette