Mawi dan Ina Naim pernah menjadi pasangan tunang selama dua tahun.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Mawi mendoakan agar bekas tunangnya, Ina Naim dipilih menjadi kekasih Allah SWT dengan ujian yang menimpanya selepas kehilangan suami baru-baru ini.

Juara Akademi Fantasia musim ketiga itu juga percaya Ina atau nama sebenarnya, Nor Diana Naim, 39, dan keluarga kuat untuk menghadapi pemergian orang tersayang.

Mawi, 42, yang juga pengarah filem yakin Allah SWT memberi ujian kepada Ina kerana Dia tahu kemampuan wanita itu.

“Pertama kali kita ucapkan takziah kepada keluarganya dan saya sentiasa mendoakan semoga keluarganya sentiasa kuat. Kita hanya mampu memberi doa tetapi yang bagi kekuatan adalah Allah SWT.

“Saya percaya setiap kita yang diuji ini Allah SWT sudah tahu kita boleh hadapi ujian dan tahu kemampuan kita. Saya doakan keluarga dia akan kuat dan tabah.

“Kita doakan juga dia semoga Allah SWT pilih dia sebagai kekasih-Nya. Kita harap-harapkan. Orang yang Allah SWT pilih kekasih-Nya adalah orang yang beruntung,” katanya selepas majlis graduasi Kem Motivasi Integrasi Haramain di sini semalam.

Mawi masih aktif menyanyi.

Mawi dan Ina pernah bertunang dengan Mawi pada 10 Februari 2004 namun putus pada 10 Julai 2006.

Setahun selepas itu, Ina berkahwin dengan allahyarham Suhaimi Saad juga bekas anggota Kumpulan In-Team pada 12 Ogos 2007.

Hasil perkahwinan tersebut, dia dan Suhaimi dikurniakan empat orang cahaya mata.

Rabu lalu, Suhaimi disahkan meninggal dunia pukul 7.40 malam, di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Suhaimi dimasukkan ke HSI dan ditidurkan sejak Jumaat lalu berikutan keadaan kesihatannya merosot selepas batuk teruk sejak bulan Ogos lalu serta mengalami cirit-birit.

Mengulas pemergian Suhaimi yang kini menjadi perbualan dengan apa dilakukan arwah ketika hayatnya, Mawi meluahkan rasa syukur kerana masyarakat bercakap tentang banyak perkara baik selepas seseorang itu meninggal dunia.

“Alhamdulillah kalau orang bercerita tentang kebaikan kita kerana yang takut kalau orang bercerita tentang keburukan kita. Jadi bila kita meninggal orang bercerita kebaikan, ia satu petanda yang baik.

“Boleh jadi contoh dan inspirasi kepada kita. Tetapi kita janganlah buat baik sebab orang hendak puji kita selepas kita mati. Itu niat kita sudah lari. Sebenarnya buat baik ini biarlah ikhlas.

“Esok kita mati orang hendak cerita baik kita atau sebaliknya, terserah kepada Allah. Cuma kita yang masih ada peluang di dunia yang Allah SWT bagi ini, banyak-banyaklah buat kebaikan. Kalau ada rezeki lebih itu, berkongsi dengan orang lain,” katanya. – MalaysiaGazette