Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Roslan Mohammad bergambar bersama semua peserta pada Majlis Penutup Hari Umrah Malaysia di Malakat Mall, Cyberjaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 19 NOVEMBER 2023.

CYBERJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendedahkan sejumlah RM9 juta telah direkodkan ekoran penipuan oleh syarikat pengendali perkhidmatan umrah bagi tahun ini bermula Januari tahun ini.

Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan, Roslan Mohammad berkata, 62 kes telah dilaporkan kepada polis melibatkan kerugian RM2.1 juta manakala RM7.079 juta dengan 355 kes direkodkan di Tribunal Tuntutan Pengguna  (TTPM).

“Pada 2021, tuntutan oleh orang awam mengenai kes scammer umrah RM150,000 manakala sejumlah RM3.7 juta bagi tahun 2022 dan RM9 juta bagi tahun ini,” katanya dalam ucapan sempena Hari Umrah Malaysia di Malakat Mall hari ini.

Kata Roslan amat sukar untuk MOTAC menghapuskan penipuan sindiket umrah kerana terdapat syarikat yang tidak didaftarkan di bahagian pelesenannya.

“Nak hapuskan aktiviti penjualan dadah sampai hukuman gantung pun masih ada orang jual dadah, setidaknya kami dapat meminimakan penipuan kepada masyarakat,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, MOTAC, jelas Roslan bercadang untuk melakukan penarafan kepada agensi pengendali perkhidmatan umrah di negara ini.

Langkah itu bagi memastikan penggredan setiap agensi yang membuat perkhidmatan umrah.

“Mulai tahun depan kita akan gredkan setiap syarikat umrah seperti mana yang dilakukan oleh hotel ada lima bintang dan sebagainya.

“Antara syarat yang diperlukan kepada syarikat pengendali umrah yang akan dimasukkan dalam gred platinum ini adalah syarikat berkenaan hendaklah mempunyai kewangan yang positif.

“Mulai tahun depan, kita (MOTAC) akan syaratkan di mana ia masih peringkat cadangan di mana syarat yang syarikat perkhidmatan umrah perlu patuhi adalah hendaklah mempunyai tempat penginapan terlebih dahulu dan perlu mempunyai tiket penerbangan,” katanya lagi.

Roslan berkata, MOTAC mendapati dua syarat ini sering tidak diambil perhatian oleh syarikat pengendali umrah.

“Macam mana kalau nak buat perniagaan (perkhidmatan umrah) kalau bilik penginapan, tiket penerbangan tidak ada. Sebab baru-baru ini pegawai saya pergi ke KLIA sebab kita dapat laporan syarikat perkhidmatan umrah nak terbangkan peserta pada hari berkenaan tapi terkandas sehari dua,” katanya lagi.

Lebih lanjut, beliau berkata, hasil semakan mendapati syarikat berkenaan tidak pernah membuat permohonan untuk tempahan tiket penerbangan untuk peserta umrah kendalian mereka. – MalaysiaGazette