KUALA LUMPUR – Pernah gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tujuh kali namun daya juang demi cita-cita bergelar pendidik – M. Kathiresan tidak pernah putus asa.
Akhirnya beliau berjaya menjadi seorang guru pada usia 27 tahun.
Lebih menarik apabila Kathiresan yang dinobatkan menjadi lima finalis teratas dalam anugerah berprestij, Malaysia Teacher Prize 2023 baru-baru ini sehingga membuatkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sendiri kagum.
Fadhlina juga melahirkan rasa terkejut dengan semangat kecekalan beliau pada majlis itu baru-baru ini.
MalaysiaGazette yang sempat bertemu dengan Kathiresan yang kini mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Mahmud di Raub, Pahang menceritakan dirinya telah melalui pelbagai cabaran termasuklah mengulang subjek Bahasa Melayu tujuh kali kerana mendapat 7D selama tujuh tahun berturut-turut.
Namun Kathiresan begitu optimis dengan terus berusaha bukan memberi pelbagai alasan untuk berjaya.
“Saya mencuba sehingga mendapat kredit dalam Bahasa Melayu akhirnya setelah berjuang selama tujuh tahun saya memperoleh keputusan yang baik, sementara mengulang SPM selama tempoh yang sama sambil menjadi tukang masak dan berniaga di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis.
“Setelah menerima kredit BM, saya renung balik memandangkan usia sudah bertambah namun hasrat menjadi guru tidak pernah pudar akhirnya saya menerima tawaran jadi guru sandaran selama tiga tahun di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Benta, Kuala Lipis namun dihentikan apabila ada guru siswazah masuk mengajar.
“Doa dan berkat akhirnya saya berjaya diserap terus untuk teruskan pengajian di IPG dengan mengambil opsyen subjek Pendidikan Jasmani dan berjaya tamatkan pengajian dengan kelas pertama.
“Sekolah pertama saya agak mencabar di SK Kampong Aur apabila 80 peratus muridnya adalah Orang Asli. Saya ajar Matematik dan Pendidikan Jasmani ketika itu,” ujarnya.
Kata Kathiresan, pada awal pengajarannya, peratus kemahiran para pelajarnya hanya 20 peratus namun meningkat sehingga 85 peratus dalam tempoh enam bulan selepas itu sebelum beliau berpindah ke sekolah kedua di Rompin.
“Di situ saya telah membuat lonjakan dalam kemahiran membaca Bahasa Melayu bagi murid tahun 1 dan telah pun menang Anugerah Guru Inovatif Negeri dan Kebangsaan, saya kemudian pindah pula ke SKJT Raub dan membawa inovasi STEM dalam kalangan murid darjah satu hingga enam sehingga menang pingat emas peringkat antarabangsa.
“Saya pernah gagal dan faham apakah itu keperluan untuk menguasai kemahiran bahasa dan juga membaca, itu juga telah menjadi inspirasi kepada murid-murid saya untuk terus berjaya, pedalaman, kemiskinan dan lain-lain bukanlah alasan untuk tidak berjaya. Jika mahu, semuanya boleh,” ujarnya.
Kathiresan juga berjaya dengan 92 inovasi dengan tiga daripadanya menjadi alternatif bantuan pembelajaran bagi membantu anak-anak murid terutama di sekolah pedalaman dan luar bandar.
Jelasnya, beliau pernah mencipta satu kaedah intervensi Nature Maths bagi menambahbaik pengajaran Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam memperkenalkan nombor bagi murid tahun satu hingga tiga terutamanya kepada pelajar anak Orang Asli.
“Apabila saya guna pelbagai teknik dalam PdP dengan menggunakan bahan seperti video atau bahan bantuan mengajar lain, ada kalanya tidak nampak apa-apa perubahan dalam murid-murid mengenali nombor. Saya teliti sebelum gunakan daun, ranting batu sebagai bahan pengajaran.
“Dalam aktiviti ini, murid akan diberikan daun untuk buat gelang tangan menggunakan jumlah daun yang diberi, kenalkan nombor mengikut jumlah daun yang dibuat sebagai rantai, gelang tangan, gelang kaki dan sebagainya. Pendekatan ini berjaya memberikan pemahaman serta rasa teruja dengan matematik.
“Ketika Pendidikan Jasmani pula, ada pelajar alami masalah menggerakkan kaki ketika main bola jaring. Saya hasilkan bahan intervensi TKK iaitu Tapak Kaki Kathi yang diperbuat daripada bahan buangan dan ia tidak melibatkan apa-apa perbelanjaan.
“Sepanjang latihan bola jaring saya menggunakan bahan ini, hasilnya murid dapat membetulkan gerak kaki semasa bermain bola jaring malah lapan murid saya terpilih bermain ke peringkat negeri. Saya juga hasilkan intervensi Bahasa Melayu bagi mengatasi masalah membaca suku kata yang juga telah berjaya beri penguasaan baik,” ujarnya.
Jelas Kathiresan lagi, jika hendak cerita terlalu banyak pencapaian dihasilkannya kerana cintanya menjadi pendidik dan rata-ratanya alat itu berjaya membantu pelajarnya mencapai keputusan luar biasa tidak kira pembelajaran atau pendidikan jasmani. – MalaysiaGazette