KAJANG – Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff hari ini mendedahkan identiti individu yang dikenali sebagai Mr. H semasa memberi keterangan kepada polis.
Mohammad Agus berkata, beliau juga membuat satu lagi laporan polis berhubung penularan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM.
“Saya sudah berjumpa dengan pegawai penyiasat sebentar tadi dan sudah selesai diambil keterangan oleh pegawai penyiasat kes ini.
“Saya juga sudah mendedahkan kepada mereka siapa individu “Mr H’ untuk membantu siasatan lanjut pihak polis.
“Saya juga ada buat laporan polis berkaitan (video) Tik Tok tular pagi ini terhadap Raja Petra berkaitan dengan laporan polis saya sebelum ini terdedah dengan maklumat peribadi yang dikira boleh membahayakan keselamatan diri dan keluarga saya,” katanya katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.
Mohammad Agus pada sidang medianya Jumaat lepas di sebuah hotel di Bangi dekat sini, mendakwa video itu disunting dan telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Ditanya mengenai bila pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani akan membuat laporan polis, Mohammad Agus berkata, beliau tidak tahu.
Mohammad Agus yang memakai baju kemeja berwarna biru tiba di IPD Kajang pada jam 2 petang dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Estima, ditemani peguam, Faizal Abd Rahman dan dilihat keluar dari IPD berkenaan pada jam 5.25 petang. – MalaysiaGazette