CYBERJAYA – Sekretariat Aid4Palestin 2.0 berjaya mengutip sumbangan RM2.4 juta daripada 55 badan bukan kerajaan untuk disumbangkan kepada penduduk Gaza.
Menurut Pengerusi Aid4Palestine, Dr. Muhammad Khalid Abdul Hadi, tabung sumbangan itu diaktifkan semula pada 7 Oktober lalu selepas berlakunya Taufan al-Aqsa.
Majlis penyampaian sumbangan berlangsung hari ini yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga penaung Aid4Palestine
Sementara itu dalam deklarasinya, Aid4Palestine antara lain mendesak kerajaan Mesir membuka pintu sempadan dan segera memberi perlindungan kepada pelarian wanita dan kanak-kanak dari Palestin.
“Golongan lelaki Palestin sebaliknya perlu kekal di Gaza, Palestin bagi menghalang Israel dari terus menakluk negara itu. Ini dapat menunjukkan semangat perjuangan dan ketahanan rakyat Palestin,” katanya.
Deklarasi sembilan perkara itu turut mendesak kerajaan Malaysia memainkan peranan sebagai pemimpin dunia Islam dan membangkitkan isu Palestin di peringkat antarabangsa.
Ini supaya dapat memberi tekanan kepada Israel dan sekutunya untuk menghentikan serangan ke atas Gaza dan menghormati hak asasi manusia rakyat Palestin.
Kerajaan juga perlu memberi bantuan kemanusiaan dan sokongan moral kepada rakyat Palestin yang menderita akibat serangan Israel sebagai tanda solidariti.
“Kerajaan Malaysia perlu mengutuk tindakan Israel yang melanggar perjanjian damai Oslo dan menghalang penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. Ini dapat menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin
“Kerajaan Malaysia harus menjalin hubungan baik dengan negara-negara Arab dan Islam yang lain untuk membentuk satu blok kuasa yang bersatu dan berpadu. Ini dapat meningkatkan pengaruh dan kuasa Malaysia dalam menyelesaikan isu-isu global yang melibatkan umat Islam, termasuk isu Palestin,” katanya.
Malaysia juga perlu memulakan tindakan undang-undang dengan mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).-MalaysiaGazette