SHAH ALAM – Polis masih belum menemui sekotak bahan letupan untuk kegunaan aktiviti kuari dipercayai tercicir dari sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki pada Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, pencarian masih gagal menemukan bahan letupan jenis ‘cast booster 400GMS’ walaupun usaha mengesan dilakukan di sepanjang Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang.
“Setakat ini kotak yang dikatakan tercicir itu masih belum dijumpai walaupun telah dicari sepanjang lebuh raya tersebut.
“Daripada soal siasat yang kita jalankan, belum menjumpai (bahan letupan) tapi kita masih teruskan siasatan untuk melihat sekiranya ada bukti baharu muncul.
“Buat masa ini siasatan kami masih berjalan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, di sini, hari ini.
Selasa lalu, Ketua Polis Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh mengesahkan menerima laporan berkenaan sebuah kotak berisi bahan letupan dipercayai tercicir dari sebuah kenderaan dipandu seorang lelaki.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada 10.28 malam Selasa lalu daripada lelaki berusia 28 tahun itu yang mengesyaki bahan letupan terbabit tercicir ketika dalam perjalanan untuk dihantar ke kuari di kawasan Puchong.
Jelasnya, semasa lelaki itu dan rakannya berada di jalan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang, dia menyedari terdapat kenderaan dari belakang memberi lampu isyarat yang mengatakan bonet Nissan Navara dinaiki mereka.
Ridhwan berkata, pengadu kemudian memberhentikan kenderaan dan menutup semula bonet itu tanpa mengesyaki ada barang tercicir kerana keadaan lalu lintas agak sibuk serta berbahaya.
Dalam pada itu, Sasikala mengingatkan orang ramai agar tidak menyimpan bahan letupan itu kerana ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1947.
“Kami mengharapkan mana-mana individu yang mempunyai maklumat bahan letupan yang dijumpai di mana-mana tempat itu sila lah tampil ke mana-mana balai polis.
“Orang ramai juga boleh terus menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222 ataupun menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Zulfazly di talian 016-4123834.
“Sesiapa yang memiliki bahan tersebut ada satu kesalahan iaitu Seksyen 8, Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1947 yang boleh membawa hukuman tujuh tahun penjara atau RM10,000 denda atau kedua-duanya,” katanya. – MalaysiaGazette