Syed Abrar Syed Ahmad Zawawi dan Nahvin Muthusamy merupakan 2 orang penerima Anugerah Pelajaran Diraja bagi Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke 19.

MELAKA – Jaguh sukan rejam lembing, Syed Abrar Syed Ahmad Zawawi, 23 tahun telah menerima Anugerah Pelajaran Diraja bagi Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke 19, baru-baru ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian itu merupakan seorang yang sangat aktif bersukan sejak di bangku sekolah lagi dan terus menempa pelbagai kejayaan sepanjang pengajian di universiti ini.

Beliau telah meraih pelbagai kejayan dalam arena sukan rejam lembing di peringkat kebangsaan dan juga peringkat Asia Tenggara dan pernah menempa nama sebagai atlit yang mewakili Malaysia dalam temasya sukan SEA 2023 di Kemboja.

Syed Abrar berkata, berbekalkan dengan semangat bersukan hingga berjaya dan jangan sesekali menyerah kalah sehingga kini beliau telah berjaya merangkul sebanyak 13 pingat emas dan 2 pingat perak daripada 16 kejohanan yang telah beliau sertai.

“Antaranya ialah Asean University Games, Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA), MAF National Athletic Championship, Kejohanan Olahraga IPT, Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT), Kejohanan Olahraga IPT Sirkit, Varsity Track and Field dan Temasya Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA),” katanya lagi.

Menyentuh tentang amalan dan pengurusan masa antara akademik dan sukan, graduan yang mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.73 ini menyatakan disiplin dan pengurusan masa yang bijak menjadi amalan beliau selama ini.

Katanya, di samping sibuk fokus mengikuti sesi perkuliahan akademik beliau sentiasa pastikan turun menjalani latihan padang selama 2 jam pada sebelah petang antara jam 5.00 hingga 7.00 petang.

Beliau merupakan anak kedua daripada 4 orang adik beradik kepada pasangan Syed Ahmad Zawawi Syed Akil, 51 tahun (Guru Tingkatan Enam) dan Hashida Mohd Hassan, 52 tahun (Pensyarah Matrikulasi Perlis).

Ditanya mengenai cita-citanya beliau menanam impian menjadi seorang pensyarah yang mana beliau akan menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana di UTeM selepas ini dan pada masa yang sama terus mengembangkan bakatnya sebagai atlit rejam lembing.

Graduan yang berasal dari Perlis itu merupakan antara 3,378 graduan yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada majlis yang berlangsung tiga hari membabitkan enam sesi itu.

Pada majlis sama, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah Nahvin Muthusamy, 23 tahun, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kompuer (Kepintaran Buatan) yang mencapai PNGK 3.89.

Ketika ditemubual, Nahvin yang berasal dari Negeri Sembilan itu melahirkan rasa kegembiraan kerana apa yang telah beliau usahakan selama pengajiannya di UTeM membuahkan hasil.

Berkongsi amalan dan prinsip beliau berkata, kita perlu mempunyai semangat dam sentiasa percaya pada diri sendiri maka perkara ini akan membuatkan apa yang kita lakukan akan menjadi lebih mudah.

Beliau merupakan anak sulung daripada 2 orang adik beradik kepada pasangan Muthusamy Ramasamy, 70 tahun dan Vasuntha Devi Perumal, 55 tahun.

Katanya, saya perlu kuat dan bertekad untuk menjadi yang terbaik demi mencorak masa depan yang lebih terjamin kerana saya ingin membalas jasa ibu yang kini terus bersusah payah menoreh getah menyara keluarga.

“Ibu terpaksa meneruskan usaha menyara keluarga kerana ayah telah lumpuh kerana diserang penyakit angin ahmar sejak beberapa tahun yang lalu dan hal ini menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus cemerlang.

“Saya bercita-cita untuk meneruskan pengajian sehingga peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Kepintaran Buatan,” ujarnya sewaktu ditemubual sejurus selepas tamat sesi 1 Majlis Konvokesyen UTeM ke 19 di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast