MARAN – Kompleks Pemuliaan Al-Quran Negeri Pahang bernilai RM280,000 di Chenor, Maran merupakan pusat pemuliaan Al-Quran terbesar di Malaysia yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang,  Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ia dibina di atas tapak asal Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Chenor yang beroperasi awal tahun ini.

Menurutnya, JAIP memiliki dua buah pusat pelupusan Al-Quran di daerah Pekan dan Chenor di Maran yang menggunakan teknologi dan kepakaran khas untuk memproses abu Al-Quran.

“Jika ada mana-mana Al-Quran yang tidak boleh dibaca, rosak, atau tersalah cetak dan boleh dilupuskan di Kompleks Pemuliaan Al-Quran Chenor.

“Kapasiti pelupusan di kompleks ini purata 500 kilogram tetapi boleh mencapai maksimum 700 kilogram mengikut tatacara pemuliaan mashaf Al-Quran.

“Pegawai pentadbiran masjid di 700 masjid di negeri ini bersama PAID akan membantu mengumpul mushaf Al-Quran yang rosak dibawa ke sini untuk dilupuskan,” katanya selepas Majlis Perasmian Kompleks Pemuliaan Al-Quran Negeri Pahang di Chenor, hari ini.

Tambah beliau, pembinaan kompleks pelupusan di Chenor bagi menampung kapasiti lebih besar pengurusan pelupusan mashaf berbanding di Pekan yang hanya menampung 200 kilogram.

Sehingga kini sebanyak 12 tan Al-Quran telah dibakar menggunakan teknologi moden dan sebahagian telah dilupus di laut dengan kerjasama Angkatan Tentera Laut Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast