ISTANBUL – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres terkejut dengan serangan Israel ke atas dua sekolah yang dikendalikan oleh pertubuhan itu di Gaza.

Tegasnya, tidak boleh berlaku pencabulan dalam kemudahan yang disediakan oleh PBB.

“Saya amat terkejut dua sekolah Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA) telah dibedil dalam masa kurang 24 jam di Gaza.

“Berpuluh-puluh orang, majoriti kaum wanita dan kanak-kanak terbunuh dan cedera ketika mereka mencari keselamatan di premis PBB.

“Beratus-ratus ribu orang awam Palestin mencari perlindungan di kemudahan PBB di seluruh Gaza berikutan pertempuran yang semakin sengit. Saya ingin menekankan bahawa premis kami tidak boleh diganggu-gugat,” kata Guterres dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, konflik itu mempunyai jumlah korban awam yang “mengejutkan” dan “tidak boleh diterima” dan ia mesti dihentikan segera.

Ketua PBB itu mengulangi gesaan untuk gencatan senjata kemanusiaan segera dan menghargai Qatar atas usaha pengantaraannya dalam membebaskan tebusan yang ditahan oleh Hamas selepas serangan rentas sempadan ke atas Israel bulan lalu.

Serangan udara Israel telah membunuh ramai rakyat Palestin di sekolah Al Fakhoura di kem pelarian Jabalia, dan sebuah lagi sekolah di Tall az-Zaatar, juga di utara Gaza.

Orang ramai dikatakan telah berlindung di kedua-dua sekolah, melarikan diri daripada serangan Israel tanpa henti. – Agensi