Topi milik Napoleon Bonaparte.

PARIS – Sebuah topi milik Napoleon Bonaparte semasa memerintah Empayar Perancis pada abad ke-19 dijual sebanyak 1.9 juta euro dalam lelongan di Paris.

Topi berbentuk bicorne yang diperbuat dari bulu berang-berang itu dinilaikan antara 600,000 hingga 800,000 euro.

Jurulelong, Jean Pierre Osenat, berkata, orang ramai amat mengenali topi itu.

“Apabila mereka melihatnya di medan perang, mereka tahu Napoleon berada di sana.

“Beliau sentiasa memakainya atau memegangnya di tangan dan kadang-kadang melemparkannya ke tanah. Itulah imej dan simbol maharaja tersebut,” katanya.

Topi itu dijual dengan harga €1.9 juta ($2.1 juta; £1.7 juta) dalam sesi lelongan di Paris dan pembeli topi tersebut tidak mendedahkan identitinya.

Ahli sejarah mengatakan topi itu adalah sebahagian daripada jenama Napoleon dan cara beliau  memakai topi menjadikannya mudah dikenali dalam pertempuran.

Beliau memiliki sebanyak 120 topi bicorne selama bertahun-tahun, namun hanya 20 topi yang masih kekal dan kebanyakannya dalam koleksi peribadi.

Topi itu dilelong oleh rumah lelong Osenat di Fontainebleau bersama-sama dengan koleksi peringatan lain milik Napoleon yang dikumpulkan oleh seorang industrialis yang meninggal dunia tahun lepas. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast