KUALA LUMPUR – Pelaburan langsung asing berjumlah RM63 bilion yang diterima Malaysia di Persidangan Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini membuktikan keyakinan pelabur asing tidak terjejas dengan pendirian negara terhadap Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelabur utama AS termasuk Google Inc dan Microsoft Inc masih memberi keutamaan kepada kestabilan politik dan dasar ekonomi kerajaan yang jelas, di sebalik tekanan berterusan Malaysia dan negara Islam lain terhadap Israel.
“Ada yang melahirkan kebimbangan bahawa sikap tegas kita berdepan dengan AS dan negara Eropah itu akan menjejaskan kedudukan ekonomi kita.
“Soal hubungan perdagangan setakat ini tak menjejaskan sama sekali. Mereka tahu pendirian kita dan mereka ikuti kenyataan kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai hasil mesyuarat dan jumlah pelaburan ke dalam negara sepanjang lawatan ke Persidangan Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi di APEC baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, setiap ruang dan peluang di persidangan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh wakil kerajaan termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz untuk menjelaskan komitmen Malaysia semasa pertemuan dengan pelabur asing yang membawa hasil pelaburan langsung asing berjumlah RM63.02 bilion.
“Kita menemui beberapa pelabur utama AS, nampaknya keutamaan masih diberikan berdasarkan politik yang stabil, dasar ekonomi yang jelas dan kaedah mempercepatkan proses kelulusan yang sekarang dikendalikan oleh MIDA,’ katanya lagi. – MalaysiaGazette