Gambar hiasan.

PORT DICKSON – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru ini melupuskan barang rampasan bernilai RM38.53 juta melibatkan pelbagai kesalahan di seluruh negara.

Ketua Setiausaha, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar berkata, ia melibatkan keseluruhan pelupusan barang kes sepanjang tahun 2023.

Ia susulan tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan KPDN berkaitan bekalan, harga, antipencatutan, ketirisan, cetak rompak, barang tiruan, halal, sewa beli, metrologi, skim anti piramid, jualan langsung, penipuan atas talian dan sebagainya.

“Berdasarkan statistik penguatkuasaan KPDN bermula 1 Januari sehingga 31 Oktober 2023, sebanyak 713,745 premis diperiksa di seluruh negara dan sebanyak 10,937 tindakan kes diambil melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM82.14 juta.

“Selain itu, sebanyak RM8.22 juta kompaun juga telah dikeluarkan melibatkan 8,519 kes manakala 96 kes pula melibatkan tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM2.3 juta dalam tempoh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd Sayuthi, sebanyak 1,490 kes yang melibatkan barang sitaan telah dilupus dan dijadikan hasil kerajaan iaitu hasil kutipan sementara sebanyak RM5.51 juta, hasil jualan lelong, sebut harga, tender dan jualan terus sebanyak RM3.44 juta serta pemusnahan barang-barang kes bernilai RM29.58 juta.

Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya melibatkan pelupusan barang rampasan berkaitan dakwat mesin pencetak.

Tindakan pelupusan barang rampasan bernilai RM2.9 juta itu membabitkan 9 kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] dan Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].

“Kesemua barang rampasan akan dilupuskan di loji scheduled waste to energy menggunakan teknologi insinerator yang mana proses tersebut akan menjana tenaga elektrik untuk disalurkan kepada Grid Nasional,” ujarnya. – MalaysiaGazette