Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi

KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendapati hanya 25.6 peratus atau 386 daripada 1,505 sekolah di seluruh negara yang dikenal pasti mempunyai bangunan daif, telah dilaksanakan Projek Naik Taraf dan Pembangunan Semula Sekolah.

Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataan berkata prestasi projek adalah rendah dengan sejumlah 123 (31.9 peratus) daripada 386 sekolah berkenaan telah siap bagi tempoh 2019 hingga 2022.

Beliau berkata isu itu antara dibangkitkan dalam LKAN kali ini yang turut melibatkan 16 pengauditan prestasi dilaksanakan di 14 kementerian membabitkan projek dan program bernilai RM208.882 bilion.

Selain itu, LKAN mendapati Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) merangkumi tiga sektor selaras fungsi ditetapkan.

“Bagaimanapun, penghasilan aktiviti R&D yang dilaksanakan masih belum dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan industri getah Malaysia,” katanya.

Bagi pengurusan program penanaman padi, Wan Suraya berkata baki peruntukan terkumpul setakat 2022 berjumlah RM448.87 juta yang disalurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kepada Lembaga Pertubuhan Peladang bagi pemberian subsidi dan insentif kepada pesawah, tidak dibelanjakan.

Katanya, isu kelewatan pembekalan baja untuk tempoh 2016 hingga 2019 juga adalah kerugian kepada kerajaan dan golongan sasar kerana bekalan baja lewat diterima tetapi tiada tindakan dikenakan kepada pembekal.

Selain itu bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir melibatkan Fasa 1 (2015-2022) di tiga lembangan sungai di Kelantan, Terengganu dan Pahang, beliau berkata pencapaian program itu kurang memuaskan.

Beliau berkata walaupun kerajaan telah membelanjakan RM145 juta untuk program ini namun kadar ketepatan ramalan banjir hanya 5.6 peratus sahaja dan ia tidak berupaya mengeluarkan amaran serta hebahan dua hari lebih awal.

Mengenai pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan, Wan Suraya berkata antara isu dibangkitkan adalah berhubung sasaran awal pembangunan Kwasa Damansara dalam tempoh 15 tahun bermula Julai 2012 hingga 2027 yang masih belum dicapai oleh Kwasa Land Sdn Bhd (KLSB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, hanya 2.104 hektar (atau 0.4 peratus) daripada keluasan keseluruhan plot tanah boleh jual (536.002 hektar) siap dibangunkan sejak 2012.

“Pelaburan KWSP dalam KLSB melibatkan modal berbayar berjumlah RM1.770 bilion namun tiada bayaran dividen sejak penubuhannya (2009),” katanya.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 261 syor audit telah dikemukakan untuk dilaksanakan kementerian, jabatan, agensi serta syarikat kerajaan yang diaudit di peringkat Persekutuan dan negeri.

LKAN 2022 peringkat Persekutuan akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangan di Dewan Rakyat dan orang ramai boleh melayarinya di http://www.audit.gov.my mulai 10 pagi hari ini.

Bagi LKAN di 13 negeri pula akan dimuat naik di laman web yang sama selepas pembentangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.- BERNAMA