KUALA LUMPUR – Proses mengambil keterangan “Mr H” berkaitan penularan rakaman video perbualan lucah antara seorang lelaki dengan seseorang yang mirip bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff hari ini, ditangguh susulan individu itu tidak sihat.
Proses merekod keterangan itu sepatutnya dilakukan di Balai Polis Presint 11, Putrajaya pada petang tadi dan perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
“Beliau tak hadir sebab kurang sihat. Tarikh baharu (rekod keterangan) akan dimaklum kemudian,” katanya ringkas kepada Bernama malam ini.
Hari ini, Razarudin dilapor berkata tiga individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.
Mohammad Agus pada sidang medianya Jumaat lepas di sebuah hotel di Bangi dekat sini, mendakwa video itu disunting dan beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan. – BERNAMA