Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bertitah sempena Istiadat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang di Istana Negara hari ini. Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih atas sokongan yang diberikan keluarganya sepanjang lima tahun menjawat jawatan tertinggi negara itu.

Seri Paduka ketika bertitah pada Istiadat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang diadakan di Istana Negara, di sini, turut menyuarakan rasa terharunya di atas kasih sayang yang diberikan keluarganya sejak menaiki tahta sebagai Sultan Pahang, sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Memang pada permulaannya agak mengejut dan begitu tidak diduga, tidak sangka untuk memegang jawatan secepat begini. Alhamdulillah dengan anugerah keberkatan Allah SWT, semuanya berjalan dengan sebaik mungkin.

“Sokongan dan dorongan yang dipamerkan oleh semua adik-beradik dan anakanda saya begitu disanjungi dan mudah-mudahan kita semua diberkati Allah,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut berkongsi beberapa kenangan manis dan pahit sepanjang lima tahun Seri Paduka berada di Kuala Lumpur yang boleh dikenang sebagai telah merapatkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan kerabatnya. – Bernama