Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata kepada pemberita pada sidang media pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi jaminan tiada lagi ahli-ahli Parlimennya yang akan mengikut jejak langkah empat wakil rakyatnya yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, ini kerana tiada keperluan untuk mereka berbuat demikian kerana tiada seorang pun yang menerima peruntukan kawasan seperti mana yang dijanjikan sebelum ini.

“Pasti tiada lagi dah (sokong Perdana Menteri), saya jamin 100 peratus tiada lagi. Kita ada perbincangan, sekarang ini kita sudah seiya sekata, masing-masing merasakan bahawa dia (PM) tak mampu tunaikan pun.

“Kita panggil yang sudah keluar, dia tak dapat apa pun, janji kosong sahaja, kita tahulah Anwar Ibrahim ini.

“Setakat ini tak dapat apa lagi, kecuali Labuan, saya tak pasti,” katanya pada sidang media pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

Ditanya tentang dakwaan kononnya Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim menerima peruntukan RM300,000, Rosol sebaliknya menegaskan,  ia adalah peruntukan untuk Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“RM300,000 itu peruntukan untuk ICU, bukan kawasan dia, duit itu diletak di ICU, dia kena bincang dengan ICU untuk projek,” katanya.

Ditanya tentang tawaran sama diajukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu, beliau berkata, setakat ini tiada lagi.

“Setakat ini ADUN tak ada, sebab dia fokus kepada Ahli Parlimen sahaja. Dia punya cara ini tiada asas sebab dia (Perpaduan) sudah dapat sokongan dua pertiga.

“Niat dia sekadar nak menghancurkan parti ini (Bersatu) sahaja untuk mengatakan parti kita lemah dan tidak mahu bertanding, itu sahaja,” katanya.

Katanya lagi, ahli Parlimen pembangkang yang menyokong Perdana Menteri tidak lebih sekadar mereka yang tidak siuman.

“Bila orang berfikir panjang, dia tidak akan pergi, sebab dia begini akan melukut di tepi gantang, maka tak bertambah, kurang pun tiada kesan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast