Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah menerima sebanyak 5,413 aduan berhubung kes salah laku dan kesalahan integriti sejak Januari sehingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, daripada jumlah aduan terbabit, sebanyak 4,497 subjek adalah membabitkan yang berstatus pegawai polis.

“Daripada jumlah itu, 2,841 aduan atau 52.48 peratus adalah berkaitan salah laku di bawah kategori integriti manakala bagi kes membabitkan tangkapan, tuduh dan sabitan yang dikenakan terhadap warga PDRM oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh sama, 121 orang ditangkap, tuduh (26) dan sabit kesalahan (14),” katanya dalam Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C Sempena Sambutan Bulan Integriti 2023 di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.

Dalam pada itu, tambah Razarudin, bagi tempoh sama juga seramai 196 warga PDRM turut ditahan membabitkan kesalahan kes penyalahgunaan dadah.

Seramai 623 pegawai polis telah ditahan kerja manakala seramai 156 lagi telah diambil tindakan digantung kerja, katanya.

“Apa yang jelas, PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya yang didapati terbabit dalam sebarang aktiviti salah laku serta integriti yang boleh menjatuhkan nama baik serta maruah pasukan.

“Walaupun pelbagai cerita mengenai salah laku membabitkan warga PDRM disiarkan atau ditularkan oleh warga netizen di media sosial namun semua perlu sedar dan menerima hakikat bahawa masih terdapat pegawai yang mempunyai sifat berintegriti tinggi dan menolak rasuah,” ujarnya.-MalaysiaGazette