Armizan Mohd Ali.

KUALA LUMPUR – Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) telah mengguna pakai sistem Pengurusan Maklumat Geospatial Pertahanan (DGIM) bagi mengawasi Monsun Timur Laut (MTL) kali ini dalam usaha untuk meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, platform itu melibatkan pengintegrasian data spatial dalam aplikasi Geographic Information System (GIS) merentasi pelbagai kementerian dan agensi yang berupaya untuk mewujudkan Joint Common Operating Picture (JCOP) bagi tujuan pengurusan bencana.
Menurut beliau, di antara agensi yang telah berintegrasi dengan platform tersebut adalah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
“Platform DGIM mula digunakan pada tahun ini melalui pengoperasian Dashboard Bencana yang kini telah berfungsi di Bilik Operasi NDCC,  Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk dipantau 24 jam setiap hari dan sedang digunakan bagi MTL 2023/24 ini.
“Penambahbaikan ataupun nilai tambah yang akan diperolehi dari penggunaan platform DGIM ini dalam konteks pengurusan bencana adalah seperti pelbagai data mengenai sesuatu kawasan ataupun daerah dari pelbagai agensi telah dikongsi dalam satu pangkalan data sahaja serta boleh diakses dengan cepat dan mudah.
“Antara data-data tersebut adalah jumlah penduduk, jenis guna tanah, kawasan hot spot banjir, lokasi projek tebatan banjir, kawasan cerun berisiko, lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS), jumlah kemudahan dan utiliti awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini selepas sesi libat urus bersama media dan rakan Nadma di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), NADMA Malaysia di Puchong, Selangor.
Mengulas lanjut, Armizan memberitahu, selain platform DGIM, NDCC juga menggunakan Disaster Information Management System (MyDIMS) bagi tujuan penyediaan Laporan Terkini Kejadian Bencana di Seluruh Negara.
Beliau berkata, sistem itu memaparkan maklumat berhubung negeri dan daerah yang telah terkesan akibat bencana serta  jumlah keluarga dan mangsa yang telah ditempatkan di PPS.
“MyDIMS juga diintergasikan dengan maklumat amaran terkini dari agensi lain seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Penggunaan DGIM dan MyDIMS akan melengkapkan lagi pangkalan data berpusat (centralized database) bagi tujuan pengurusan bencana oleh pihak NADMA melalui konsep perkongsian data terkini dari pelbagai agensi.
“Bagi meningkatkan lagi keupayaan platform DGIM dalam mengintergrasikan data spatial dari pelbagai agensi, satu Kumpulan Kerja Geo-Dataraya Pengurusan Bencana telah dibentuk pada 3 Oktober lalu bagi memudahkan proses pengkongsian data dan kepakaran dari pelbagai agensi dan ia dipengerusikan oleh Ketua Pengarah NADMA,” katanya. – MalaysiaGazette