Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI – Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan transit aliran ringan (LRT) di Johor Bahru perlu dilaksanakan segera.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, selain meneruskan penumpuan kepada sektor-sektor yang telah memacu pertumbuhan ekonomi – ia melengkapkan ekosistem negeri itu sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Justeru kerajaan negeri berpandangan High Speed Rail (HSR) dan Light Rail Transit (LRT) perlu dilaksanakan dengan segera di  Johor.

“Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian kepada perkara yang dinyatakan itu,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 di Bangunan Sultan Ismail hari ini.

September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan mengadakan berbincang bersama Singapura selepas kerajaan memutuskan langkah ke hadapan projek HSR apabila permohonan maklumat (RFI) dimuktamadkan.

Mengikut perancangan asal, jajaran terdahulu HSR akan terdiri daripada tujuh stesen di Malaysia iaitu Bandar Malaysia, Sepang-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri sebelum trek dari Kuala Lumpur sampai di destinasi terakhir di Jurong East, Singapura.

Projek terdahulu menyasarkan untuk menyediakan masa perjalanan paling singkat antara dua bandar raya itu, kepada hanya dua jam setengah, termasuk masa ke stesen HSR dan proses imigresen.

Mac lalu pula, kerajaan dilaporkan sedang menimbangkan cadangan pembinaan jajaran pengangkutan sistem transit aliran ringan (LRT) bagi menyelaras sistem pengangkutan lebih baik di Johor Bahru.

Anthony dilaporkan berkata, sebuah syarikat swasta telah mengutarakan cadangan bagi membina LRT berkenaan

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga berkata, pengumuman SEZ dan SFZ Forest City adalah katalis kepada pembangunan negeri, selain meneruskan penumpuan kepada sektor-sektor yang telah memacu pertumbuhan ekonomi.

“Insya-Allah, Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Singapura dan Kerajaan Malaysia akan ditandatangani pada 11 Januari 2024.

“Kerajaan negeri berharap dan akan berusaha agar perjanjian pula ditandatangani selewat-lewatnya enam bulan dari tarikh tersebut dan pelaksanaannya pada awal tahun 2025,” katanya. -MalaysiaGazette