Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan 41 akaun bank Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain dengan jumlah
keseluruhan RM15,868,762.00, semalam.

Menurut kenyataan suruhanjaya itu, sebelum ini pihaknya turut membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

“Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan
Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574),” katanya, hari ini

Kelmarin, Aman Palestin berkata ia akan mengambil tindakan undang-undang sivil iaitu fitnah jenayah kepada pemfitnahnya selepas siasatan SPRM selesai.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Aman Palestin telah mengenal pasti pihak yang melemparkan tohmahan berkenaan hingga memberi impak negatif kepada penubuhan tersebut.

Menurut Muhammad Rafique Aman Palestin telah memberi kerjasama baik pada pihak penyiasat SPRM dengan memberikan semua butiran yang diperlukan dan tindakan keterbukaan pertubuhan itu menunjukkan tiada yang perlu disorok.

Sementara itu, menurut SPRM, suruhanjaya tersebut telah menjalan siasatan terhadap dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober 2023.

Katanya, suruhanjaya itu telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting dan hasil siasatan awal telah mengenalpasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast