Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri prosiding saman US$681 juta oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang difailkan terhadapnya dan beberapa individu lain.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk P. Ravinthran, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Lim Chong Fong memutuskan bahawa prosiding yang mahu dihadiri bekas perdana menteri itu terhad kepada pendengaran injunksi Mareva di Mahkamah Tinggi yang telah selesai pada 27 Sept lepas.

Semasa menyampaikan keputusan mahkamah secara dalam talian, Ravinthran berkata perkara berkaitan injunksi Mareva kini menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata mahkamah bersetuju dengan peguam Siva Kumar Kanagasabai yang mewakili 1MDB dan empat anak syarikat, bahawa sebarang keputusan yang dibuat dalam rayuan ini akan bersifat akademik.

“Tiada apa-apa yang menghalang perayu (Najib) untuk memfailkan permohonan lain (untuk beliau menghadiri perbicaraan rayuannya di Mahkamah Rayuan),” katanya ketika menolak rayuan Najib tanpa perintah kos.

Mengenai beberapa pemerhatian yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam penghakiman bertulisnya yang dibangkitkan perayu, Ravinthran berkata ia adalah pandangan mahkamah bahawa perkara itu boleh ditangani dalam permohonan masa depan di Mahkamah Rayuan.

Pada 10 Nov tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Atan Mustafa Yusoff Ahmad menolak permohonan Najib untuk menghadiri prosiding itu. Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.

1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified memfailkan saman terhadap Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas pengarah kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas pengarah eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (bekas ketua pegawai kewangan dan kemudiannya ketua pegawai operasi).

Pada 27 Sept lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mengetepikan injunksi Mareva bagi menghalang beliau daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia bernilai US$681 juta (RM3.2 bilion).

Tahun lepas, syarikat itu memperoleh injunksi terhadap Najib atau ejennya, membekukan asetnya berhubung tuntutannya sebanyak US$681 juta terhadapnya (Najib) sebelum selesai saman sivil.

Beliau telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Injunksi itu turut mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukan untuk perbelanjaan sara hidup serta guaman namun sekiranya jumlah lebih banyak diperlukan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Injunksi Mareva ialah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang. – BERNAMA