Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menafikan dakwaan pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan berhubung konservasi berkaitan penyu.

Dalam satu kenyataan, DOF sentiasa peka dengan isu pengurusan dan konservasi spesies terancam terutama berkaitan penyu, kata
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain.

Menurutnya, DOF melaksanakan aktiviti pengurusan dan penguatkuasaan penyu dengan merujuk kepada Akta Perikanan 1985 dan Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) atau Enakmen Penyu di bawah undang- undang kerajaan negeri.

Pada tahun 2022, DOF dan kerajaan negeri Terengganu telah mengambil langkah proaktif dengan mengharamkan penjualan telur penyu melalui penguatkuasaan Seksyen 7A (i), Enakmen Penyu (Pindaan) 2021; “Tiada seorang pun boleh ada dalam milikannya telur semua jenis penyu kecuali bagi maksud penetasan oleh pihak Jabatan Perikanan, atau mana-mana pihak yang diberi kebenaran oleh Pegawai Pelesen”.

Adnan berkata demikian merujuk laporan khas yang disiarkan di portal berita Daily Express bertarikh 12 November 2023 bertajuk “Reef Resort expands hatchery” dan penulisan di dalam artikel tersebut; “Sad to say, Terengganu lost the largest of turtles on earth to extinction – Leatherback, because its folks kept eating its eggs, its government did hopelessly nothing on hatcheries!’

Pengutipan data penyu seperti pendaratan, pengeraman, penetasan dan pelepasan dilaksanakan secara berterusan oleh kakitangan tetap dan kontrak yang dilantik oleh DOF atau kerajaan negeri.

Kakitangan ditempatkan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu dan hatcheri penyu untuk melaksanakan aktiviti mengutip dan memindahkan telur ke hatcheri, pelepasan anak penyu dan
pengurusan pusat tersebut.

Berdasarkan rekod, sebanyak 31,566 pendaratan, 2,648,278 pengeraman, 1,771,459 penetasan dan 1,684,005 pelepasan telah dicatatkan sepanjang tahun 2021 sehingga 2023 di lapan (8) negeri iaitu Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Adnan, DOF juga sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pemegang taruh lain seperti Badan Bukan Berkanun (NGO) untuk menjalankan aktiviti kesedaran dan pemindahan maklumat kepada kumpulan sasar seperti pelajar sekolah dan penduduk setempat.

Sebanyak 345 Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah dilaksanakan di 8 negeri (Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Wilayah Persekutuan Labuan).

“Program ini dijalankan sebagai platform penyampaian dan perkongsian maklumat yang tepat, jelas dan meluas berkenaan
pengurusan penyu. Edaran bahan informasi yang interaktif dan mesra pengguna juga dilaksanakan oleh DOF bersesuaian dengan setiap peringkat umur kumpulan sasar,” kata Adnan.

Penyelidik-penyelidik di Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (IPPRA), Terengganu telah menjalankan sebanyak lapan (8) kajian berkenaan spesies marin terancam khususnya penyu untuk mengenalpasti status semasa penyu melalui kajian berterusan yang dilaksanakan di beberapa negeri.

Untuk memastikan segala matlamat ke arah pengurusan dan pemuliharaan penyu di Malaysia selaras dengan amalan mapan yang diterima pakai di seluruh dunia, satu Pelan Tindakan Pengurusan dan Pemuliharaan Penyu (Pelan 2) bakal diterbitkan dengan bersandarkan kepada Akta Perikanan 1985, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008
dan dan Kaedah-kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) atau Enakmen Penyu di bawah undang-undang kerajaan negeri.

“Pelan yang akan dibangunkan ini bakal menjadi kayu ukur kejayaan pengurusan dan pemuliharaan penyu di Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette