BAGAN DATUK – Exco Kerajaan Perak terutama daripada Pakatan Harapan (PH) mengakui hubungan dengan Exco dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) semakin utuh tatkala penubuhan Kerajaan Perpaduan di negeri itu kini menjangkau setahun.
Namun mereka mengakui, pada peringkat awal, semangat dan ikatan kerjasama politik yang dibina itu memakan sedikit masa untuk diperkuatkan.
Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, ini kerana dua gabungan parti itu sering berbeza pandangan dalam arena politik sebelum ini.
Walau bagaimanapun, Pengarah Pendidikan Politik DAP Perak itu berkata, atas dasar mahu mewujudkan kestabilan politik demi pembangunan negeri, dua gabungan itu melihat ke hadapan dan terus mengukuhkan kerjasama antara satu sama lain.
Jelasnya, sebarang perbezaan pandangan terhadap sesuatu isu dalam kalangan wakil rakyat PH dan BN dapat diselesaikan secara berhemah bagi mendapat satu keputusan terbaik.
“Sekarang gandingan BN dan PH semakin hari, semakin teguh dan stabil. Malah, semangat kerjasama antara dua gabungan itu semakin kuat terutama di Perak.
“Selain pembuat dasar, kita berharap agar semua pihak termasuk dalam kalangan penjawat awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat untuk terus bergerak seiring dengan kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita pada program MESRA Hari Bertemu Pelanggan di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata fokus barisan exco dalam kalangan PH dan BN ketika ini adalah mahu memberi penumpuan terhadap rakyat dan pembangunan negeri.
Katannya, pentadbiran kerajaan negeri mahu memastikan tiada mana-mana rakyat di negeri ini akan terpinggir dari memperoleh nikmat daripada hasil di Negeri Perak.
“Walaupun sebelum ini seolah-olah ada tindakan hendak mengganggu kerajaan negeri ini, namun ia gagal yang mana ia usianya telah menjangkau setahun. Ia bermakna ciri-ciri kekuatan dan kekukuhan kerajaan negeri itu ada.
“Kerajaan Perak yang ada ini adalah kerajaan yang cukup kuat dan sentiasa ada kerjasama baik dalam kalangan Exco,” ujar Exco Perak tunggal dari Parti Amanah Negara (Amanah) itu.
Pada masa sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pengukuhan pentadbiran di negeri amat penting khususnya dalam meneruskan agenda Pelan Perak Sejahtera 2030 demi kebaikan negeri dan rakyat.
Katanya, kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika ini giat menjalankan pelbagai usaha untuk merancakkan kembali ekonomi negeri pasca pandemik COVID-19.
“Saya dan agensi kerajaan berkaitan berharap dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada rakyat agar mereka lebih memahami hala tuju negeri di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Selain itu, kerajaan negeri juga sedang giat melakukan pelbagai pembangunan dan pelaburan termasuk dalam menambah baik hal-hal berkaitan dengan perumahan dan kerajaan tempatan,” kata Pengarah Komunikasi PKR Perak itu.
Kerajaan Perpaduan di Perak dibentuk selepas Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-15 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 21 November tahun lalu.
Sehari kemudian, ia diikuti dengan angkat sumpah jawatan 10 Exco yang terdiri daripada tiga ADUN BN dan tujuh ADUN daripada PH.
Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Blok Kerajaan dikuasai 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada PH dan sembilan daripada BN, daripada daripada keseluruhan 59 kerusi. -MalaysiaGazette
BACA SELANJUTNYA DI MGPERAK:
Gandingan PH BN Di Perak Semakin Teguh
Genap setahun, Kerajaan Perak kekal stabil – MB