Kerajaan Perak Perpaduan Saarani Mohamad
Saarani Mohamad

BAGAN DATUK – Pentadbiran Kerajaan Perak yang bertahan dan stabil sehingga kini membuktikan tiada sebarang masalah wujud dalam kerjasama politik membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sindiran mendakwa kerjasama berkenaan disifatkan sebagai ‘perkahwinan mutaah’ adalah sesuatu yang tidak benar.

“Saya memberi jaminan bahawa kami telah membuktikan bahawa dalam tempoh genap setahun kami mentadbir Perak, tidak ada sebarang masalah yang timbul.

“Malah saya yakin, ia akan terus kekal sehingga akhir penggal pilihan raya ini dengan kita dapat menjalankan pentadbiran sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab untuk rakyat di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media pada Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini, pada Khamis.

Hadir sama barisan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Dalam pada itu, Saarani yang juga Pengerusi BN Perak berkata, walaupun ada kalanya wujud perbezaan pendapat dalam mesyuarat Exco mingguan, ia dapat diselesaikan dengan baik.

“Kita telah membuktikan bahawa tiada sebarang masalah timbul dalam Kerajaan Perpaduan di Perak.

“Setiap minggu kami mengadakan mesyuarat Exco secara profesional, aman damai, dan bertoleransi. Walaupun kadang-kadang ada pendapat yang berbeza tetapi kita raikan dan buat keputusan secara bersepakat,” katanya lagi.

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-15 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 21 November tahun lalu.

Sehari kemudian, ia diikuti dengan angkat sumpah jawatan 10 Exco yang terdiri daripada tiga ADUN BN dan tujuh ADUN daripada PH.

Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Blok Kerajaan dikuasai 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada PH dan sembilan daripada BN, daripada daripada keseluruhan 59 kerusi. – MalaysiaGazette

BACA SELANJUTNYA DI MGPERAK:

‘Genap setahun, Kerajaan Perak kekal stabil’

Gandingan PH-BN di Perak semakin teguh

‘Genap setahun, Kerajaan Perak kekal stabil’

MGPerak: Gandingan PH BN Di Perak Semakin Teguh