Nor Amiza menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Danish berusia dua tahun yang dikhuatiri lemas di sebatang longkang sewaktu hujan lebat di Taman Goodwood, Bukit Palah, Melaka petang ini.

MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dikhuatiri lemas di sebatang longkang sewaktu hujan lebat di Taman Goodwood, Bukit Palah, di sini, petang ini.

Ibu kanak-kanak itu, Nor Amiza Bt Che Kar, 28, berkata, dalam kejadian kira-kira 3.25 petang itu, anak bongsunya, Muhammad Danish Mohd Faizal tiba-tiba hilang ketika dia sedang berniaga di kawasan berkenaan.

“Waktu itu hujan lebat dan air hujan hampir memenuhi longkang sedalam kira-kira 1.3 meter di belakang gerai saya menjual nasi kerabu.

“Sebelum itu, dia ada bermain di kawasan berhampiran dengan anak ketiga berusia empat tahun dan tidak lama kemudian, Danish tiba-tiba tidak kelihatan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Christopher menunjukkan lokasi longkang kanak-kanak dipercayai lemas

Tambahnya, dia kemudian bertanyakan anaknya itu di mana Danish kerana hanya menjumpai selipar dipakainya berada di kawasan rumput tepi longkang.

“Anak bagaimanapun tidak tahu sebelum saya dan suami, Mohd Faizal Maarop, 38, terus mencarinya di kawasan sekitar selama 20 minit namun tidak menemuinya.

“Selepas itu, suami segera membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru dan sehingga 5.50 petang ini, saya masih mencarinya kerana percaya Danish masih hidup.

“Tolonglah kalau ada sesiapa terjumpa Danish yang memakai baju biru di mana-mana pulangkanlah kepada saya,” katanya sebak.

Anggota bomba melakukan usaha mencari dan menyelamat

Menurutnya, dia tidak menyangka tragedi itu berlaku ketika dia sedang mencari rezeki di situ sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan menerima laporan kira-kira jam 3.45 petang daripada bapa mangsa.

“Setakat pukul 5.50 petang ini, usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dalam keadaan hujan.

“Namun berdasarkan selipar mangsa ditemui ditepi longkang, kita syak mangsa mungkin terjatuh,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian.

Tambahnya, operasi SAR melibatkan kekuatan 10 nggota dan pegawai bomba selain 10 anggota dan pegawai polis. – MalaysiaGazette.