anwar ibrahim
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pergulungan Kongres Nasional Tahunan Keadilan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 26 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Pelancong dari China dan India akan menikmati pengecualian visa untuk memasuki Malaysia selama 30 hari mulai 1 Disember ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu adalah sempena meraikan sambutan 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, tahun depan.

Menurut beliau, kemudahan tersebut juga adalah tambahan kepada tempoh pengecualian visa selama 15 hari yang diberikan kepada warga dari negara-negara Asia Barat sebelum ini.

Negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran serta semua negara Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan pula pada masa ini menikmati kemudahan pengecualian visa.

Kemudahan kemasukan ke Malaysia tanpa visa ini juga turut dinikmati oleh lapan buah negara ASEAN lain yang

“Pengecualian ini tentunya tertakluk kepada tapisan keselamatan awal yang dibuat kerana soal keselamatan.

“Kalau ada rekod jenayah atau risiko keganasan maka visa tidak akan dibenarkan. Ini wewenang pasukan keselamatan terutamanya Jabatan Imigresen,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2023 di Pusat Kovensten Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden PKR menambah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengumumkan kemudahan-kemudahan lain dalam masa terdekat.

Berhubung pertemuannya dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin di Sadao esok, Anwar memberitahu, mereka bertekad untuk membangunkan kawasan utara Semenanjung dan selatan Thailand.

“Ia akan menjamin bukan sahaja pertumbuhan ekonomi tetapi keamanan dan kedamaian yang adil bagi selatan Thailand,” jelasnya.

Beliau menyifatkan pertemuan itu adalah penting kerana ia akan memberi faedah secara langsung kepada kedua-dua negara serta rakyatnya.

Sementara itu, Anwar berkata, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong baru-baru ini, beliau telah menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan mengamil sikap yang sangat positif dalam hubungan dengan negara jiran itu.

“Saya terima perakuan beliau bahawa semua hal yang terbantut sama ada soal air, ruang udara atau sempadan kita sudah tunggu puluhan tahun, harus ada tekad politik untuk selesaikan dan beri keuntungan bagi kedua-dua negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast