BENTONG – Insiden banjir puing di Kampung Bukit Tinggi, di sini, pada malam Sabtu lalu disifatkan antara yang terburuk di kawasan tersebut dan kejadian tersebut membimbangkan penduduk setempat.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati mereka berharap pihak berkuasa dapat mengambil langkah-langkah wajar untuk memastika nperkara sama tidak berulang.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 66, berkata, restoran mengalami kerugian beribu ringgit setiap kali banjir melanda kawasan tersebut.
Katanya, kedai menjual sayur dan buah-buahan yang terletak bersebelahan dengan restorannya juga mengalami kerugian hampir RM10,0000 kali ini.
“Ini bukan kali pertama. Sudah berlaku tiga kali tapi kali ini teruk. Tembok restoran yang saya bina menggunakan besi dengan kos pembinaan lebih daripada RM50,000, musnah.
“Kedai anak saya, barang-barang seperti peti sejuk dihanyutkan kerana air begitu deras. Semua pihak termasuk Menteri dan wakil rakyat turun tengok keadaan kali ini.
“Kita hanya berharap kali ini kerajaan akan lebih serius menangani isu banjir ini. Kita tidak meminta apa-apa, tetapi harap agar pihak berkuasa dapat membina jambatan yang lebih lebar di jalan ini supaya situasi ini tidak berulang lagi,” katanya ketika ditemui di pekan Bukit Tinggi.
Sementara itu, tinjauan turut mendapati perniagaan di sekitar Kampung Bukit Tinggi berjalan seperti biasa dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan di kawasan tersebut oleh pihak berkuasa.
Banjir yang melanda kawasan tersebut menyebabkan beberapa perniagaan terpaksa ditutup sementara waktu. – MalaysiaGazette