Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya kerajaan menubuhkan jawatankuasa pemerhati bagi memantau kecenderungan politik dalam kalangan penjawat awam khususnya guru yang disuarakan perwakilan Johor dalam kongres PKR disifatkan sebagai langkah yang merugikan sumber manusia.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, penjawat awam merupakan golongan profesional yang menjadi tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan yang sedang memerintah khususnya dan negara amnya meskipun memiliki ideologi yang berbeza antara satu sama lain.

Jelas beliau, meskipun sudah berikrar untuk taat setia kepada kerajaan namun penjawat awam bebas untuk mempunyai pegangan politik masing-masing, seiring dengan prinsip demokrasi negara.

“Sudah pasti setiap penjawat awam mempunyai ideologi dan pandangan politik masing-masing, namun CUEPACS memberi jaminan mereka sangat profesional dan sentiasa berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab selain boleh membezakan kepentingan awam yang dipikul.

“Sebagai seorang penjawat awam, mereka sudah berikrar untuk menyatakan taat setia sepanjang perkhidmatan kepada kerajaan sedia ada. Bagaimanapun dalam konteks demokrasi penjawat awam itu berhak mempunyai pandangan mereka sendiri tanpa paksaan termasuklah ketika membuang undi pada pilihan raya,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut menegur ahli politik supaya tidak melibatkan perkhidmatan awam serta dalam kepentingan politik masing-masing, sebaliknya saling bekerjasama dalam membangunkan negara.

Mengulas lanjut Adnan berkata, negara ini mempunyai pengundi daripada pelbagai latar belakang pengundi dan kerjaya, sehubungan itu, tiada keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa bagi memantau penjawat awam.

“CUEPACS ingin bertanya kepada pihak yang melontarkan idea ini adakah pengundi di negara ini hanya penjawat awam sahaja sehingga menjadikan kami sebagai perhatian. Dahulu pun penjawat awam pernah dilabel mengundi pembangkang sehingga pembangkang itu telah menjadi kerajaan pada hari ini.

“Tidak adil sekiranya keseluruhan penjawat awam disasarkan hanya semata-mata memiliki kecenderungan politik yang berbeza. Daripada sudut penjawat awam sememangnya kita harus mendokong aspirasi kerajaan yang memerintah, cuma sebagai individu penjawat awam juga ada pilihan apabila tiba masanya untuk memilih,” tambah beliau. – MalaysiaGazette