Salah seorang penunggang motosikal terpelanting ke dalam longkang akibat kemalangan tersebut.

GEORGE TOWN – Empat individu cedera akibat dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi dipandu wanita warga emas di Jalan Bukit Gambir berdekatan pintu keluar Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Kejadian jam 3 petang itu membabitkan empat kereta termasuk milik wanita itu dan tiga motosikal.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, hasil siasatan awal mendapati, pemandu wanita berusia 60 tahun telah bergesel dengan salah sebuah motosikal.

Jelas beliau, panik dengan insiden itu wanita berkenaan memecut laju keretanya menyebabkan hilang kawalan sebelum melanggar tiga buah motosikal dan tiga buah kereta.

Keadaan kereta Myvi dipandu wanita warga emas selepas merempuh kereta dan motosikal di Jalan Bukit Gambir berhampiran pintu keluar USM, Pulau Pinang hari ini.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan pemandu kereta itu sendiri serta empat penunggang termasuk pembonceng motosikal mengalami kecederaan.

“Pemandu kereta lain tidak mengalami kecederaan dan ketika itu, kesemua kenderaan tersebut sedang menunggu lampu isyarat merah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Saravanan, tiga daripada empat lelaki yang cedera merupakan pelajar USM.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu tular beberapa keping gambar menunjukkan beberapa buah motosikal dirempuh Perodua Myvi.

Pemandu kereta serta empat lagi individu cedera akibat kemalangan tersebut.

Akibat daripada pelanggaran itu menyebabkan seorang penunggang terpelanting masuk ke dalam longkang berhampiran manakala kereta itu tersangkut di besi penghadang bahu jalan. – MalaysiaGazette