JOHOR BAHRU – Pengurus Besar Mariyah Holdings, Nor Ashiqin Jamaludin hari ini menyangkal dakwaan bahawa syarikatnya merupakan ‘scamner’ dalam peniagaan pakaian.
Beliau berkata, urus niaga yang dilakukan mengikut terma dan syarat yang dipersetujui kedua belah pihak dan bukan menjadi tanggungjawab syarikat untuk memastikan barangan yang telah dibeli peniaga terjual sepenuhnya.
“Ini adalah fitnah, kita (syarikat kami) bukan ‘scammer’. Kita menjual pakaian dan mereka (pelanggan) membeli. Kita sudah memberikan pakaian kepada peniaga dan mendapat bayaran yang sewajarnya.
“Jika pakaian yang kami jual ada terdapat kerosakan, dalam terma dan syarat boleh dipulangkan dan kami perbaiki. Tetapi jika peniaga hendak pulangkan atas sebab pakaian itu tidak terjual ian tidak mungkin berlaku dalam terma dan syarat yang dipersetujui.
“Sebagai pembekal pakaian, kami telah membuat perkara yang sewajarnya dengan membuat promosi reka bentuk baju tersebut. Adalah atas usaha peniaga sendiri untuk menjual produk mereka. Jika kami adalah ‘scammer’, kami tiada kilang untuk dituju oleh peniaga sekiranya terdapat masalah, malah pakaian juga tidak akan diberikan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan Nor Ashiqin mendakwa orang Melayu malas.
Sesulan daripada penularan video tersebut, beberapa peniaga dan usahawan mendakwa mereka ditipu syarikat terbabit yang dikatakan bersikap tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, peguam yang mewakili Mariyah Holding, Sharifuddin Liwan berkata, pihaknya dalam perbincangan untuk mengambil tindakan terhadap individu yang menyebabkan penyebaran kandungan palsu.
Beliau yang meminta netizen menghentikan segala video, atau memuatnaik video berkaitan di media sosial berkata, individu terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Terdahulu dalam sidang media itu, pemilik Mariyah Holdings, Mariyah Yaacob atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Makcik Kemboja,’ mengakui terkhilaf dan mohon maaf kepada rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette