Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengisytiharkan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan gagasan kerajaan Madani.

Beliau mengumumkan sokongannya itu dalam Dewan Rakyat ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pagi ini.

“Saya sendiri bersedia untuk memberi dan membantu kerajaan mewujudkan masyarakat Madani, menangani kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

“Dengan ini Bukit Gantang mengisytiharkan menyokong Tambun sebagai PM10 dan gagasan kerajaan Madani,” kata Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Terdahulu beliau menyeru Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai bekas Perdana Menteri supaya bekerjasama dengan Anwar untuk membangunkan negara, sekali gus menangis isu harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dalam masa yang sama, Syed Abu Hussin bertanya kepada Anwar adakah beliau bersedia untuk bekerjasama dengan Ahli Parlimen termasuk dalam kalangan pembangkang demi menangai isu semasa rakyat.

“Dalam keadaan politik negara tidak stabil ini bagaimanakah kerajaan nak menguruskan ekonomi, harga barang terus naik dan kos sara hidup terus naik. Oleh itu demi negara yang tercinta, saya meminta Tambun Pagoh dan Bera buang yang keruh ambil yang jernih. Marilah Pagoh dan Bera sebagai bekas Perdana Menteri bersama-sama Tambun membina masyarakat Madani

“Tan Sri Speaker, soalan saya, adakah PMX bersedia untuk menyambut kesediaan Ahli-Ahli Parlimen yang mempunyai kepakaran, kebolehan keupayaan untuk membantu membangun rakyat sekaligus membangun ekonomi negara,” katanya lagi.

Sementara itu, Anwar ketika menjawab soalan berkenaan berkata beliau sentiasa membuka ruang kerjasama dengan mana-mana pihak demi menangani masalah rakyat.

“Saya ucap terima kasih kepada Bukti Gantang sahabat lama yang kembali untuk memberikan sokongan dengan prinsip yang ditegaskan, pertama untuk menjalin perpaduan kedua menjamin ekonomi lebih dipacu dengan berkesan. Ketiga masalah yang dihadapi ekonomi global yang memberi kesan dan dampak negatif dari segi harga barang dan kos sara hidup dapat diselesaikan melalui muafakat.

“Soalan tentang kesediaan saya untuk menerima kerjasama walaupun tidak semestinya menyertai, terima kasih Bukti Gantang nyatakan sokongan secara terbuka tersebut, saya telah buka ruang sejak awal dan saya alu-alukan kerajsama sekiranya diperlukan,” ujarnya.-MalaysiaGazette