tanah Melayu Apandi Perlembagaan
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen (MP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang beralih sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu bentuk rasuah.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pemberian peruntukan tersebut merupakan rasuah kerana Ahli Parlimen yang tidak menyokong Anwar tidak menerima peruntukan tersebut.

“Kata Perdana Menteri, sokongan oleh wakil rakyat Parti Bersatu bukan kerana disogok. Tetapi wakil rakyat Bersatu yang beralih sokong PM ke-10 mengaku mereka diberi peruntukan untuk kawasan mereka yang biasanya diberi kepada wakil rakyat Kerajaan sahaja.

“Ada pemberian lain juga diakui oleh wakil rakyat Bersatu. Segala pemberian ini tetap rasuah kerana yang tidak sokong PM tidak dapat,” kata Mahathir dalam satu perkongsian di media sosial.

Terbaharu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengisytiharkan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan gagasan kerajaan Madani.

Beliau mengumumkan sokongannya itu dalam Dewan Rakyat ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pagi ini.

Syed Abu Hussin Hafiz merupakan Ahli Parlimen Bersatu kelima berbuat demikian.

Sebelum ini, sokongan bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim (7 November) dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik (8 November).

Zahari Kechik mengesahkan sudah menerima peruntukan RM300,000 daripada kerajaan Persekutuan selepas menyatakan sokongan kepada Anwar.

Beliau berkata, wang itu dikreditkan ke akaun Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli pada Rabu dan akan digunakan untuk membiayai keperluan rakyat di kawasan berkenaan bagi tempoh dua bulan.

“Peruntukan ini akan digunakan untuk program komuniti dalam masyarakat, bantuan untuk pesakit kronik, agihan makanan dan persiapan banjir.

“Setiap ahli Parlimen akan peroleh sebanyak RM3 juta setahun jadi tahun ini tinggal lagi RM300,000 dan saya akan dapat lagi untuk Januari tahun depan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli di sini pada 16 November lalu. – MalaysiaGazette