Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara profesional dan adil tanpa sebarang niat jahat terhadap mana-mana pihak.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata, terpulang kepada mana-mana pihak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka merasa ada keperluan untuk berbuat demikian.

Katanya, SPRM bersedia untuk mendedahkan kepada mahkamah justifikasi mengapa pembekuan aset dibuat.

“Tindakan pembekuan aset bagi membantu siasatan adalah berdasarkan Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 yang memberi kuasa kepada sesuatu agensi penguat kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta mana-mana orang.

“Ia adalah tindakan yang biasa dijalankan dalam mana-mana siasatan sekiranya ada keperluan.

“Ingin ditegaskan SPRM telah dipertanggungjawab dan diamanahkan untuk menyiasat dengan adil dan tegas sebarang isu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, terutamanya kes berkepentingan awam yang melibatkan ketirisan dana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas tindakan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) pada sidang medianya semalam yang  memberi tempoh tiga hari kepada suruhanjaya tersebut untuk menyahbekukan akaunnya yang dibekukan sejak 23 November lalu.

Peguam Aman Palestin, Rafique Rashid berkata, sekiranya badan penguatkuasaan itu gagal berbuat demikian tindakan undang-undang akan diambil.

Menurutnya, satu surat telahpun diutus kepada Azam serta Pengarah Bahagaian Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram AMLA SPRM berhubung perkara tersebut.

Rafique turut mendakwa, kenyataan media yang dibuat oleh SPRM pada 23 November lepas pada perenggan ketiga jelas berniat jahat dan sengaja diterbitkan untuk membina persepsi negatif terhadap Aman Palestin.- MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan: 

Aman Palestin beri tempoh tiga hari kepada SPRM nyahbeku akaun