BATU MAUNG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di lokasi runtuhan bangunan logistik di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, yang mengorbankan tiga warga Bangladesh ditutup hari ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, ia susulan siasatan mendapati empat buruh binaan warga Bangladesh yang dikhuatiri tertimbus itu sebenarnya sudah melarikan diri dari lokasi sebaik runtuhan berlaku semalam.

Jelas beliau, selain itu, lima elemen yang digunakan dalam SAR  tersebut tidak membawa kepada penemuan mangsa.

“Pasukan penyelamat mengguna pakai lima elemen iaitu khidmat Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm), Juru Analisa Kejadian (CSI), Unit Pengesan Anjing (K9), korek keseluruhan runtuhan serta dron dalam SAR yang bermula jam 10.30 malam semalam sehingga petang tadi.

“Bagaimanapun, tiada petunjuk terdapat mangsa terperangkap dalam timbunan sebelum pihak polis melakukan operasi pengesanan membabitkan empat mangsa itu di sekitar Bayan Lepas.

“Susulan itu, pada jam 4 petang tadi kita berjaya mengesan dan menahan kesemua empat buruh binaan yang melarikan diri dari lokasi kejadian sebaik runtuhan berlaku,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Artikel berkaitan: Titijaya akan lakukan siasatan penuh tragedi kemudahan logistik runtuh

Kerja pembinaan bangunan logistik dihentikan serta merta – MBPP

Bomba bimbang empat mangsa sudah mengeras dalam simen

18 mangsa dikhuatiri terperangkap, cedera di bawah runtuhan binaan kilang logistik

Menurut beliau, kesemua empat lelaki warga Bangladesh itu dikenal pasti meninggalkan lokasi kejadian berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

“Berdasarkan rakaman CCTV, empat lelaki itu berada di lokasi pada jam 9.06 malam dan ketika kejadian mereka berada di lokasi namun selepas runtuhan berlaku mereka dikatakan ketakutan dan bertindak melarikan diri.

“Namun kita sedang menjalankan siasatan sama tindakan melarikan diri itu bermotifkan perkara tersebut atau disebabkan tiada permit yang sah.

“Setakat ini, lima mangsa terperangkap dalam timbunan yang mana tiga daripadanya meninggal manakala dua lagi parah dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya.

Tambah Mohamed Usuf, SAR di lokasi runtuhan ditutup hari ini selepas pihaknya berpuas hati dengan lima elemen yang diguna pakai dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

“Setakat ini, pihak polis buka siasatan sebagai mati mengejut (SDR) bagaimanapun siasatan akan diklasifikasi semula sekiranya siasatan yang dilakukan pihak bomba, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) wujud elemen sebaliknya.

Sementara itu, tiga mangsa runtuhan yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Mohd Sayful Islam, 29, Md Ahed Ali, 42 dan Mohammad Mokaddes Ali, 46 tahun.

Manakala dua lagi, Md Uzzal Mridha, 30, dilaporkan patah kaki kiri manakala Md Razu Ahamad,33, pula cedera pada kepala serta leher.

Mereka ini dikeluarkan dari lokasi runtuhan pada jam 11.11 malam semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Zulfahmi Sutaji berkata, pihaknya akan kekal di lokasi tetapi kekuatan anggota akan dikurangkan.

“Kita akan berada di sini untuk membuat siasatan sekiranya terdapat penemuan baru,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast