Struktur binaan kilang logistik yang terletak di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu runtuh malam ini.

BATU MAUNG – Seramai 18 individu dikhuatiri terperangkap serta cedera dalam kejadian runtuhan struktur pembinaan sebuah kilang logistik di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.58 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, BBP Seri Balik Pulau dan BBP Jalan Perak bergegas ke lokasi.

Persiapan dilakukan oleh pasukan penyelamat untuk mencari mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah  runtuhan binaan kilang logistik di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang.

“Sebaik tiba, terdapat sebahagian daripada bangunan kilang yang sedang dalam pembinaan telah runtuh.

“Maklumat awal mendapati terdapat 18 mangsa terperangkap serta cedera dalam runtuhan itu.

“Setakat ini seramai seramai lima mangsa telah dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital.

“Bagaimanapun status mengenai 13 lagi mangsa masih belum dipastikan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ambulans dan petugas kesihatan siap siaga menerima mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan struktur binaan kilang di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan ketika ini. – MalaysiaGazette