Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan komuter dan tren elektrik (ETS) Kereta Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengalami gangguan berikutan tren kejuruteraan projek Klang Valley Double Track 1 (KVDT1) tergelincir di KM387.755 di antara Stesen Kuala Lumpur dengan Stesen KL Sentral pada awal pagi ini.

Menurut kenyataan KTMB, dalam kejadian jam 4.04 pagi ini, tren kejuruteraan projek tersebut sedang menjalankan kerja-kerja menaiktaraf landasan di KL Sentral.

“Insiden itu menyebabkan gangguan operasi perkhidmatan tren ETS dan perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang kerana hanya ada satu landasan.

“Jangkaan kelewatan untuk perkhidmatan ETS ialah 30 minit dan KTM Komuter adalah selama 15 minit,” katanya menerusi hantara Facebook.

KTM berkata, kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan dan dipantau oleh kakitangan keselamatan.

“KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh para penumpang kami susulan kejadian tersebut,. Maklumat terkini akan diberikan dari semasa ke semasa melalui akaun media sosial kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette