BATU MAUNG – Empat lagi buruh binaan masih tertimbus dalam insiden runtuhan bangunan logistik yang masih dalam pembinaan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, seramai lima mangsa telah dikeluarkan dari lokasi kejadian setakat jam 1.40 pagi tadi.
Jelas beliau, tiga daripada lima mangsa disahkan meninggal dunia manakala dua lagi parah.
“Dua mangsa disahkan maut di lokasi selepas dikeluarkan pada jam 10 malam manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Buat masa ini, pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kekuatan seramai 80 orang sedang berusaha mengeluarkan baki empat lagi mangsa yang terperangkap,” katanya kepada media di lokasi di sini, awal pagi tadi.
Mengulas lanjut Mohamed Usuf berkata, kesemua mangsa terlibat dalam kejadian ini merupakan warga Bangladesh namun identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
“Terdahulu kita menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 9.45 malam dan dimaklumkan terdapat 18 pekerja di tapak pembinaan bangunan logistik tersebut.
“Bagaimanapun, hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati hanya sembilan buruh binaan terperangkap dalam runtuhan itu manakala sembilan lagi telah keluar sebelum kejadian bagi menunaikan solat.
“Ketika kejadian kesemua mangsa dikatakan bekerja di bahagian bawah rasuk (beam) sepanjang lebih 12 meter dengan anggaran berat 14 tan sebelum ia terjatuh lalu melanggar rasuk lain dan menimpa pekerja terbabit,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 14 rasuk terdapat di kawasan itu dan kesemuanya jatuh dan menimpa buruh berkenaan.
“Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan kren bagi mengangkat struktur binaan untuk memudahkan akses mencari mangsa yang terperangkap,” katanya. – MalaysiaGazette